Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei serta perseorangan remaja wanita, Goh Jin Wei.

Menurutnya, Chong Wei mempamerkan permainan cemerlang untuk meraih gelaran sulung Siri Super Perdana Terbuka China apabila menumpaskan pemain nombor satu dunia Chen Long pada final kelmarin.

“Chong Wei masih mempunyai kelajuan. Itu pandangan saya secara keseluruhan selepas melihatnya mudah mengalahkan Chen Long.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku di Sukan Olimpik 2016 Rio nanti. Kita harap dia mara ke final,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Dalam pada itu, beliau mengakui bukan hanya Jin Wei berjaya mempamerkan permainan mantap di Kejohanan Remaja Dunia, malah Lee Ying Ying juga layak menerima pujian.

“Sebelum ini kita hanya meletakkan sasaran Jin Wei mara ke separuh akhir untuk membawa pulang gangsa. Bagaimanapun, dia berjaya melepasi sasaran mara ke perlawanan akhir dan muncul juara.

“Kita juga perlu melentur dia sebaik mungkin kerana Malaysia mempunyai sejarah kurang baik (berjaya sebagai pemain remaja, tapi gagal di peringkat senior),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 8:48 AM