Rasanya sebut saja nama Tauke Raja Lawak, semua orang kenal. Masakan tidak, orangnya suka berjenaka, pe-ramah dan tengah popular.

Namun dari dulu sampai sekarang, telinga Cik Pang asyik dengar macam-macam hal pasal Tauke yang dikatakan kaki perempuan dan suka bertukar-tukar pasangan.

Pada awalnya, malas juga nak ambil tahu sebab selagi tak nampak dengan mata kepala, Tauke tetap nampak biasa-biasa saja di mata Cik Pang.

Cuma kebetulan teman Cik Pang berada di satu acara hiburan yang besar, minggu lalu. Kata teman Cik Pang, kali ini pelawak dan pelakon itu datang dengan gadis lain.

Terkejut juga dengar kata-kata teman Cik Pang itu hingga hampir tertelan biji asam boi yang dikunyah.

Apa maksudnya dengan gadis lain pula? Padahal setahu Cik Pang, artis itu memang tak pernah berahsia mengenai teman wanitanya yang cantik manis sebab sering dibawa ke beberapa acara hiburan sebelum ini.

Namun, teman Cik Pang bersungguh-sungguh mendakwa kali ini pelawak itu bawa orang lain pula. Entahlah betul ke tidak, Cik Pang tak berani nak komen lebih-lebih.

Kalau betul Tauke bawa gadis lain pula, jawabnya betullah dakwaan orang bahawa pelawak itu suka tukar pasangan.

Menurut firasat Cik Pang yang tak seberapa ini, selalunya orang perempuan memang suka lelaki yang pandai berjenaka dan menggembirakan mereka, tak kisahlah muka 'pecah rumah' atau ibarat bulan mengambang sekalipun.

Kira baguslah sebab Tauke pandai ambil hati gadis sampai ada yang terpikat, cuma seelok-eloknya baik jadikan isteri yang sah. Lagipun, Tauke pun dah lama menduda, tak begitu?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:01 AM