Walaupun tidak mempelajari bidang fesyen secara formal, dek kerana minat mendalam, Mohamad Annas Zahrin Atan, 26, bertekad me­nimba ilmu sendiri bagi merealisasikan impian bergelar seorang pereka terkenal di negara ini.

Namun, itu semua cerita suka duka permulaan perjalanan karier beberapa tahun lalu yang tersimpan kemas dalam sejarah hidupnya.

Kini, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu kian dikenali dan labelnya, Ashh&Annass menjadi satu fenomena di laman sosial, Instagram.

Himpunan rekaannya terutama skirt dan baju mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai dan habis dalam masa beberapa hari saja.

Menurut pereka muda ini bukan senang menjadi pereka fesyen yang menjadi pilihan ramai. Disebabkan itu, Mohamad Annas yang lebih mesra dengan panggilan Annas mengakui setiap idea yang dicurahkan perlu mempunyai kelainan dan identiti tersendiri supaya tidak sama dengan jenama lain.

Katanya, bukan mudah untuk menawan pasaran fesyen hari ini kerana terdapat banyak label lain

di pasaran.

"Jadi, suka atau tidak saya perlu menghasilkan koleksi yang mempunyai keistimewaan dan kelainan sendiri untuk memikat hati orang ramai.

"Selain itu, kehendak pasaran semasa juga perlu diambil kira selain mengumpul idea daripada perbincangan bersama ahli keluarga dan rakan terdekat.

"Ini kerana saya mahu rekaan dihasilkan me­ngikut peredaran zaman serta dan malar segar yang boleh dipakai pada bila-bila masa," katanya.

Mengimbas kembali pada awal permulaan karier sebagai pereka, Annas berkata, dia bukan saja tidak mengikuti kelas secara formal, malah tiada pengetahuan langsung mengenai bidang fesyen.

Katanya, sebaik tamat pengajian lima tahun lalu, dia memulakan pekerjaan di sebuah syarikat swasta sebagai seorang pegawai.

"Selepas beberapa ketika, saya dapati pekerjaan itu tidak memberi kegembiraan kerana dibebani tugasan terlampau banyak.

"Ketika itu, bidang rekaan fesyen di negara ini sedang berkembang dan saya mencabar diri sendiri untuk menceburi bidang yang begitu asing dengan dunia sebelum ini," katanya.

Menurut Annas lagi, keinginan itu sebenarnya dikuatkan oleh minatnya sejak kecil yang suka melihat benda cantik terutama penampilan wanita penuh bergaya.

Pemerhatian yang mendalam terhadap bidang fesyen semasa turut membuatkan Annas bertekad mahu menjadi pereka terkenal dan menghasilkan pakaian wanita moden bertemakan gaya sopan yang penuh elegan.

"Saya memulakan perniagaan secara dalam talian dengan menjual pakaian wanita yang diambil dari beberapa kedai.

"Pada awalnya, saya tidak terfikir untuk menghasilkan pakaian sendiri, namun terpaksa akur selepas melihat permintaan menggalakkan daripada pelanggan," katanya.

Dia menjadikan rumah sebagai pusat operasi sebelum mengambil keputusan membuka butik di Kota Damansara.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan koleksinya, Annas berkata, dia lebih menekankan konsep kesopanan di setiap rekaan kerana mahu baju yang dipakai sama ada mereka yang bertudung atau tidak kelihatan lebih anggun dan bergaya setiap masa.

"Bagi mereka yang tidak berhijab tiada masalah untuk mengenakan apa saja pakaian, namun saya lebih suka menghasilkan rekaan yang sopan dan tidak terlalu menonjol.

"Tetapi untuk Muslimah bertudung, saya perlu pastikan rekaan yang dikeluarkan sesuai dengan gaya pemakai, tidak mahu kelihatan seksi atau menjolok mata," katanya.

Menurutnya, kebanyakan koleksinya menggunakan fabrik sifon kerana ia akan menyerlahkan lagi rekaan sementara jahitan perincian pula tampak membuatkannya lebih menarik dan bergaya.

Ini kerana sifon adalah fabrik yang membuatkan pakaian dipakai terletak cantik pada tubuh dengan mudah terutama bagi mereka yang berbadan tinggi dan langsing.

"Selain itu fabrik lycra dan renda juga menjadi pilihan kerana kainnya sejuk sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini selain rekaan nampak mewah.

"Untuk warna pula, saya menggunakan banyak rona pastel dan sesuai digayakan oleh semua warna kulit," katanya.

Pun begitu dia juga banyak bermain dengan warna dan ia jelas kelihatan pada koleksi skirt dan blaus yang kebanyakannya menerapkan tema terang dan ceria. Kombinasi berkenaan nyata menepati cita rasa golongan wanita muda hari ini.

Harga untuk han rekaannya adalah mampu milik dan sesuai untuk semua golongan terutama pertengahan.

"Koleksi kami kelihatan mewah, tetapi jangan terkejut kerana harganya sangat berpatutan dengan apa yang pembeli peroleh.

"Saya mahu terus mengeluarkan koleksi fesyen yang berkualiti yang boleh dimiliki pelbagai lapisan masyarakat.

"Ini kerana fesyen adalah universal dan milik semua tidak kira latar belakang atau keturunan," katanya sebelum meng­akhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 7:02 AM