ANTARA koleksi Islamik Modesty yang diketengahkan.
ANTARA koleksi Islamik Modesty yang diketengahkan.
Amry Mutalib


Fesyen berkonsepkan Islamik moden kini menjadi trend dalam kalangan pereka tempatan dan menjadi ikutan generasi muda pada masa kini untuk digayakan.

Antara yang menjadi pilihan remaja masa kini ialah Islamik Modesty menggabungkan fesyen kontemporari dan klasik.

Modesty didefinisikan sebagai kesederhanaan dalam berpakaian yang menampakkan imej pemakai kelihatan lebih anggun dan kemas selain dipadankan dengan rona lembut.

Kebanyakan pereka menggunakan warna yang agak lembut seperti ‘dusty pink’ atau warna tanah dalam menghasilkan pakaian bercirikan moden.

Dalam fesyen Islamik Modesty, pemilihan fabrik dititikberatkan dalam rekaan supaya pemakai kelihatan selesa dan tidak menjolok mata.

Bagi wanita berhijab selain berbaju kurung, generasi muda turut memilih padanan jubah dengan 3D lace serta manik yang banyak untuk menyerlahkan imej Muslimah secara lebih eksklusif.

Rekaan Islamik Modesty ini bukan mentitikberatkan jubah sahaja, tetapi ia boleh dipadankan dengan baju blaus polos serta seluar palazzo disempurnakan aksesori agak ringkas.

Pilihan fesyen ini ternyata sesuai untuk generasi muda masa kini kerana rekaannya agak ringkas dan sopan terutama ketika menghadiri sesuatu majlis sama ada formal atau santai.

Jenis Fabrik Islamik Modesty

Moss Crepe

Fabrik ini ada penggemarnya yang tersendiri. Kainnya tidak terlalu tebal dan sejuk. Fabrik ini juga tidak perlu digosok dan senang digayakan di mana-mana majlis.

Dull Satin Velentro

Fabrik ini membuatkan pakaian kelihatan ‘flowy’ semasa dipakai. Fabrik ini kelihatan berkilat supaya pemakai nampak eksklusif. Fabrik jenis ini mempunyai bidang yang besar iaitu 60 inci.

APA KATA PEREKA

Gen-Y menemu bual pereka muda, Afifah Nurul-Hilal, 26, atau lebih mesra dengan panggilan Fifa yang menghasilkan rekaan Islamik Modesty.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata walaupun rekaan Islamik Modesty kelihatan minimalis, penghasilannya memerlukan ketelitian dari segi fabrik dan aksesori.

Ia bagi menunjukkan rekaan itu tampak mewah tetapi masih mengekalkan elemen yang sesuai untuk gadis Islam.

“Bagi saya, busana Muslimah hendaklah mempunyai elemen yang mencerminkan akhlak dan kesopanan gadis Timur.

“Kerana itu saya banyak merujuk majalah serta koleksi pereka terdahulu dalam mencari inspirasi menghasilkan rekaan yang menepati konsep Muslimah,” katanya yang mendapat inspirasi daripada pereka terkemuka seperti Bernard Chandran dan Zuhair Murad.

Bercerita lanjut Fifa berkata fabrik seperti kain sifon dan moss crepe menjadi pilihan kerana mudah dibentuk dan senang digosok walau apa jua keadaan.

“Gen Y kini gemarkan fesyen berkonsep sedia dipakai, jadi rekaan ini sesuai untuk mereka gayakan,” katanya.

Sehingga kini, Fifa mengumpul 10 rekaan yang melambangkan kesederhanan tetapi kelihatan unik dan kreatif. Dia juga menjana pendapatan sambilan dengan menerima tempahan menjahit manik atau ‘beading’.

Baginya, tidak mustahil menampilkan rekaan Islamik Modesty di negara kita walaupun mempunyai pelbagai kaum kerana rekaan ini adalah yang paling ringkas untuk ke sesuatu majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:04 AM