Bagaimana memastikan kedudukan selamat dan sesuai untuk perhiasan kaca serta bagaimana mengekalkan serinya sepanjang masa.

Nurfazlin Mohd Rashid

Perhiasan kaca antara aksesori ruang yang eksklusif dan menggambarkan gaya menarik.

Ia mudah disesuaikan dengan pelbagai jenis konsep, apatah lagi perabot atau aksesori hiasan lain.

Sesiapa pun tahu bahawa perhiasan kaca mudah pecah, mengumpul habuk dan memerlukan penjagaan rapi.

Bagi mencipta kesan yang maksimum, kumpulkan barangan kaca pada satu tempat.

Ia lebih baik daripada menghiasnya di merata tempat dalam satu bilik atau ruang.

Meletakkan semua perhiasan kaca pada satu tempat bukan sahaja memudahkan anda membersih­kannya, malah ia memberi anda lebih kebebasan untuk bergerak dan risiko perhiasan pecah adalah rendah.

Warna latar dinding yang cerah seperti putih atau krim sesuai dalam menyerlahkan perhiasan kaca.

Apabila berada di tempat yang mudah menerima cahaya, perhiasan itu benar-benar menyerlah dan kelihatan bersinar.

Bagaimanapun, elakkan pancaran terus cahaya matahari. Malah, pencahayaan dengan pemasangan lampu siling atau dinding yang dihalakan pada perhiasan itu menambahkan gaya eks­klusifnya.

Seterusnya pilih dan padankan perhiasan kaca yang baru dengan lama, rekaan kreatif dan ringkas bagi menampilkan kesan dramatik.

Tempatkan almari atau rak telus pandang untuk perhiasan kaca jika mempunyai bajet.

Pastikan anda membersihkan barangan kaca sekerap mungkin bagi me­ngelakkan ia mengumpul habuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:00 AM