RAJAN dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Bali untuk proses penghantaran pulang ke India.
RAJAN dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Bali untuk proses penghantaran pulang ke India.

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia menghantar balik seorang ketua penjenayah paling dikehendaki di India semalam untuk berdepan lebih 10 kes pembunuhan di negara asalnya.

Rajendra Nikalje atau dikenali sebagai Chhota Rajan, ditahan ketika tiba di Bali minggu lalu, sekali gus mengakhiri pemburuannya selama dua dekad.

Rajan berada dalam senarai individu dikehendaki Interpol sejak 1995 kerana terbabit dalam aktiviti peras ugut, penyeludupan senjata dan pembunuhan.

“Tiada sebarang masalah pentadbiran dan kami sudah menyiapkan semuanya untuk menghantarnya pulang,” kata jurucakap polis Bali, Hery Wiyanto.

Menurutnya, Rajan, 55, dihantar pulang ke India petang semalam.

Rajan tinggal di Australia dengan menggunakan identiti palsu tetapi pergi ke Bali kerana bimbang musuh akan menemuinya.

Penasihat keselamatan India mahu menangkap Rajan sebagai salah satu strategi untuk memburu penjenayah paling dikehendaki di India, Dawood Ibrahim. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 6:50 AM