Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui lemas di Pantai Irama, di sini, kira-kira 12.10 tengah hari, hari ini.

Muhammad Azwan Arif Azmi, 8, ditemui pasukan penyelamat di sekitar 1.39 batu nautika dari pantai Kubang Golok, Pantai Irama.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bachok, Mohammad Khairu Yusoff, berkata operasi mencari dan menyelamat itu bermula 10.30 pagi semalam, selepas dimaklumkan mangsa lemas dan berhenti pada 6.30 petang.

"Hari ini, kita mula operasi pada 8 pagi dan menemui mangsa di sekitar 1.39 batu nautika oleh Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang turut membantu membuat rondaan dengan menggunakan bot.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya ketika dihubungi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa bersama abangnya, Muhammad Amar Faiz, 11, dan dua rakan iaitu Muhammad Muaz Jusoh, 19, dan adiknya, Muhammad Adam Haiqal, 9, ke pantai berkenaan, 8 pagi semalam, untuk mandi sebelum dkhuatiri lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:07 PM