MELAKUKAN plank.
MELAKUKAN plank.
JURULATIH kecergasan Chocberry Fitness, Fareed (kanan) dan Saufee.
JURULATIH kecergasan Chocberry Fitness, Fareed (kanan) dan Saufee.
PERALATAN kecergasan Chocberry Fitness.
PERALATAN kecergasan Chocberry Fitness.
Siti Farahiyah Aziz


Trend masyarakat daripada pelbagai lapisan yang mula menyedari kepentingan penjagaan kesihatan mendorong mereka melakukan senaman.

Kesedaran itu menyebabkan dua anak muda, Saufee Miftah, 26, dan Fareed Fauzi, 24, mengetengahkan konsep ‘mobile training’ bagi memudahkan orang ramai melakukan senaman mengikut lokasi serta masa yang bersesuaian dengan mereka.

Pengalaman hampir enam tahun dalam dunia kecergasan membolehkan mereka menjadi serasi dalam berkongsi ilmu untuk memberi impak terbaik kepada pelanggan.

Selain itu, mereka juga sudah mempunyai pencapaian tersendiri dalam bidang kecergasan iaitu ‘Professional Master Trainer’ bagi Saufee dan Fareed pula diiktiraf sebagai ‘ACE Certified Personal Trainer’.

PEMILIHAN ‘HOME FITNESS’

Menurut Saufee, pemilihan menggunakan kaedah senaman dari rumah ke rumah disebabkan permintaan daripada kebanyakan orang yang inginkan keselesaan.

“Ketika bekerja di pusat kecergasan, kami sering kali diajukan persoalan sama ada melakukan ‘home fitness’ atau sebaliknya.

“Pertanyaan daripada pelanggan menjadi pencetus idea untuk kami mencuba sesuatu yang baru bagi membantu orang ramai dari segi tahap kesihatan,” katanya.

Menurutnya, sejak itu kami memikirkan tindakan yang perlu dilakukan bagi memudahkan orang ramai yang memerlukan latihan senaman secara personal.

PERKEMBANGAN KERJAYA

Memulakan kerjaya secara serius sekitar Ogos tahun lalu, jurulatih Chocberry Fitness mengorak langkah bergerak sendiri dengan pengalaman yang ada untuk meyakinkan orang ramai mengenai tawaran mereka.

Fareed berkata, mereka ­menekankan konsep ‘mobile personal trainer’ dan ‘mobile fitness consultant’ bagi memudahkan pelanggan.

“Bagi kami konsep itu sangat membantu pelanggan kerana mereka perlu menetapkan lokasi dan waktu mengikut kesesuaian mereka. Kemudian kami akan bergerak ke sana menggunakan motosikal kerana ia lebih cepat.

“Keadaan ini sebenarnya lebih santai dan boleh memudahkan golongan yang berkerjaya kerana mereka tidak perlu bergegas ke pusat kecergasan,” katanya.

CABARAN KERJAYA

Berkongsi mengenai cabaran, Saufee berkata, tiga bulan pertama adalah tempoh yang sangat sukar untuk meyakinkan orang ramai mengenai kerjaya yang dilakukan ini kerana belum dikenali serta tidak mempunyai pusat kecergasan.

“Ketika itu khidmat kami pernah ditolak serta tidak diberi peluang untuk menonjolkan kebolehan yang kami ada.

“Disebabkan itu, kami cuba lakukan yang terbaik sehingga pelanggan mencapai pengurangan berat badan secara sihat seperti yang diimpikan dalam tempoh tertentu.

“Selepas itu, alhamdulillah rezeki kami berterusan sehingga kini apabila pelanggan pertama mula membantu kami dengan menyebarkan hasil yang diperoleh kepada rakannya,” katanya.

Selain menjadi jurulatih kecergasan, Saufee dan Fareed juga membabitkan diri dalam beberapa program ceramah berunsurkan perkongsian mengenai pengetahuan kesihatan, senaman serta pemakanan.

SENAMAN MALAM DAN SUPLEMEN

Trend senaman pada waktu malam sudah mula sebati dalam kalangan masyarakat di ibu negara khususnya kerana kesuntukan masa untuk melakukan senaman pada waktu siang.

Mengulas mengenai trend itu, Saufee berkata, sekarang ini kebanyakan warga kota memenuhi pusat kecergasan kerana kesuntukan masa melakukan senaman serta faktor cuaca yang panas.

“Tidak dinafikan senaman pada waktu malam mampu memberi lebih keselesaan tapi ia juga memberi kesan buruk pada tubuh. Ini kerana badan memerlukan rehat selepas seharian penat bekerja.

“Mengenai pengambilan suplemen, kami akan mengesyorkan jenama yang bersesuaian serta diperbuat daripada bahan organik bagi mengelakkan berlakunya gangguan terhadap sistem tubuh,” katanya.

PERANCANGAN AKAN DATANG

Saufee berkata, dalam menjalankan tuntutan kerja, dia dan Fareed juga sedang membuat persediaan untuk menyertai pertandi­ngan Mr Badan Cantik.

“Selain itu, setakat ini kami hanya aktif di laman sosial Instagram, @chocberryfitness. Oleh itu, kami merancang untuk membuka satu pusat atau pejabat kecergasan bagi memudahkan kami bekerja di samping memberi khidmat nasihat kepada pelanggan.

“Kami juga berhasrat untuk menubuhkan kafe yang menyediakan makanan sihat serta beberapa produk lain lagi. Keadaan ini membolehkan Chocberry sebagai satu nama yang universal dan dikenali ramai,” katanya yang juga jurulatih kepada beberapa orang artis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 1:23 PM