DE BRUYNE (kanan) idam robek gawang United di Old Trafford.
DE BRUYNE (kanan) idam robek gawang United di Old Trafford.
AFP

London: Pemain tengah Manchester City Kevin de Bruyne mahu mencuri perhatian pada aksi setempat pertamanya menentang Manchester United apabila pendahulu Liga Perdana itu bertandang ke Old Trafford esok.

De Bruyne bakal menimba pengalaman pertembungan Manchester buat kali pertama selepas berpindah ke City dari Wolfsburg, Ogos lalu.

Pemain antarabangsa Belgium berusia 24 tahun itu sudah menzahirkan impak besar di City dan dia menambah populariti menerusi gol masa kecederaan ketika menghasilkan kemenangan pasukannya pada aksi Liga Juara-Juara menentang Sevilla, Rabu lalu.

Selepas jaringan Denis Law yang menyaksikan United tersingkir pada 1974 hinggalah era Mario Balotelli yang mendedahkan baju-t tertulis ‘why always me’ pada kemenangan 6-1 empat tahun lalu, peminat City sentiasa menyimpan ruang khusus di dalam hati mereka untuk pemain yang mampu mencetuskan gundah buat musuh tradisi itu.

Kini De Bruyne yang sudah meledak lima gol sepanjang sembilan penampilan bersama skuad kendalian Manuel Pellegrini itu, berazam menyertai barisan bintang City yang pernah mengecewakan United.

“Saya sangat gembira. Inilah saat yang anda tunggu sebagai pemain bola sepak,” kata De Bruyne.

“Suasananya pasti meriah. Aksi hebat dan pertemuan setempat ini sangat penting buat peminat. Saya harap kami dapat melakukan yang terbaik.”

City menang tiga daripada empat kunjungan terakhir ke Old Trafford tetapi tewas 4-2 di venue sama musim lalu - keputusan yang mengejutkan apatah lagi tanpa bantuan jaringan Wayne Rooney .

Berbekalkan 11 gol sepanjang aksi setempat itu, Rooney sering menjadi duri dalam daging buat City dan jaringan kapten United itu ketika memberikan kemenangan pada 2011, sudah tentu menandakan ulang tahun ke-30 yang disambut hari ini membawa makna besar buat dirinya.

Jika Rooney berjaya memberikan inspirasi kemenangan, ia pasti muncul pada saat tepat dan skuad kendalian Louis van Gaal itu bakal memintas City di tangga teratas andai Arsenal tercicir mata ketika bertemu Everton, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:10 AM