KSBCC bakal gegar Asahan.
KSBCC bakal gegar Asahan.

Jasin: Kuala Sungai Baru Cycling Club (KSBCC) meletakkan harapan kepada lima pesertanya yang bakal berentap pada Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan, hujung bulan ini.

Pengerusi KSBCC Arsehar Abu Bakar berkata, beliau yakin penyertaan pasukannya dalam kategori Terbuka Metro (Jamboree), Lelaki Master dan Junior mampu menghasilkan kejutan.

Menurutnya, KSBCC menyandarkan harapan kepada pelumba muda dan mensasar kedudukan kelompok 50 terbaik pada penampilan sulung kejohanan itu.

“Kami yakin pelumba kami dapat meningkatkan nama kelab dengan meraih kedudukan terbaik kelak,” katanya.

Arsehar berkata, KSBCC yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu itu mempunyai 20 ahli dan mengadakan latihan tiga kali seminggu membabitkan laluan biasa dan ‘off-road’ dengan jarak hingga 50 kilometer (km).

“Tiada latihan khusus menjelang kejohanan ini, namun kami hanya mengekalkan kecergasan supaya dapat bersaing dengan peserta lain nanti,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya juga aktif menyertai pelbagai kejohanan berbasikal di dalam dan luar Melaka.

Katanya, pendedahan menerusi penyertaan pelbagai kejohanan banyak meningkatkan kualiti tunggangan dan menjadikan ahlinya lebih cekap.

“Dengan pelbagai laluan ditempuh dalam kejohanan disertai memberi kelebihan kepada pelumba KSBCC menamatkan kayuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:07 AM