Ahmad Zahid disambut oleh penduduk ketika hadir untuk program Hijrah Perdana  di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang. FOTO Supian Ahmad
Ahmad Zahid disambut oleh penduduk ketika hadir untuk program Hijrah Perdana di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang. FOTO Supian Ahmad
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Bagan Datoh : Peristiwa hijrah Rasulullah SAW jangan hanya dilihat secara literal tetapi perlu dilihat dari segi penghijrahan terhadap sikap dan tindak tanduk yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila penghijrahan sikap dapat dilakukan, ummah dapat melakukan penyatuan fikiran, hati nurani dan tindakan.

"Umat Islam hendaklah mengetepikan perbezaan pendapat, pegangan parti politik dan ideologi berbeza agar negara kita aman damai dan mendapat keampunan Allah SWT.

"Apabila kekuatan ummah dapat dilakukan termasuk menghormati budaya, agama dan pihak lain, orang Islam dapat menterjemahkan semangat hijrah itu dalam bentuk sikap," katanya ketika berucap pada Program Hijrah Perdana di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang, di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, perbezaan pendapat itu harus dalam Islam serta perlu diraikan tetapi bukan untuk memecah-belahkan ummah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 11:42 PM