MADAM Kwan.
MADAM Kwan.
SENTIASA memilih bahan segar.
SENTIASA memilih bahan segar.
MENYEDIAKAN menu utama di restoran.
MENYEDIAKAN menu utama di restoran.
AMAT teliti dalam menyediakan masakan termasuk nasi.
AMAT teliti dalam menyediakan masakan termasuk nasi.
MADAM Kwan ketika berkunjung ke cawangan restorannya di Sunway Pyramid.
MADAM Kwan ketika berkunjung ke cawangan restorannya di Sunway Pyramid.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Setiap hari wanita berjiwa kental ini pasti bangun seawal jam 4 pagi untuk memulakan harinya dengan memasak dan memantau kerja di dapur utama. Semuanya demi memastikan semua tugas lancar dan hidangan terbaik disediakan buat pelanggan di restoran terkenal miliknya, biarpun usianya sudah melewati 81 tahun.

Kwan Swee Lian atau lebih dikenali sebagai Madam Kwan dalam kalangan rakan, ahli keluarga dan pekerjanya, ialah pengasas rangkaian restoran hidangan tradisional Malaysia yang terkenal, Madam Kwan’s.

Memulakan perniagaan itu pada Ogos 1999, Madam Kwan yang berasal dari Kluang, Johor, pada mulanya lebih meminati bidang andaman dan pernah membuka kedai tatarias dan gunting rambut, Sakura, pada 1957.

Menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pada usia 14 tahun, Madam Kwan mengakui dirinya amat meminati bidang kecantikan kerana mahu kelihatan sentiasa cantik.

Selepas tamat pengajian peringkat sekolah, dia meneruskan pendidikan dalam bidang tatarias dan gunting rambut sebelum membuka salun kecantikan sendiri dan menguruskannya selama 28 tahun.

Madam Kwan berkata, selepas hampir tiga dekad menguruskan salun kecantikan, dia membuat keputusan menukar cabang perniagaan lain kerana berpendapat tidak sesuai lagi bekerja sebagai jurudandan.

“Saya berasa pada usia 42 tahun, saya sudah terlalu tua untuk menjadi jurudandan dan merias wajah orang lain kerana saya sendiri sudah semakin berusia.

“Saya tidak boleh meneruskan perniagaan salun kecantikan dan mahu memulakan perniagaan lain. Apa yang saya tahu saya sangat suka makan nasi lemak dan ketika itu, satu-satunya nasi lemak yang saya suka dijual di sebuah hotel terkenal.

“Namun tidak lama selepas itu, nasi lemak itu sudah tidak dijual di sana dan kerana sangat sukakan nasi lemak, saya terpaksa belajar masak sendiri,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Madam Kwan terfikir untuk memulakan perniagaan restoran dengan menjual makanan tradisi Malaysia termasuk nasi lemak.

Bagaimanapun apa yang menjadi cabaran kepadanya ketika itu dia tidak meminati bidang masakan, malah tidak tahu memasak.

Demi merealisasikan perniagaan restoran, Madam Kwan mengupah tukang masak dan memulakan perniagaan restoran, Sakura pada 1977.

Namun selepas 10 tahun, tukang masak berkenaan mengambil keputusan berhenti menyebabkan Madam Kwan cemas seketika bagaimana mahu menghidangkan makanan di restorannya.

Rakan-rakannya datang untuk membantu, tetapi mereka juga tidak tahu cara memasak setaraf hidangan restoran, lalu menyedarkan Madam Kwan dia perlu belajar memasak dan menyediakan sendiri hidangan di restoran miliknya.

“Ketika memulakan restoran Sakura, saya tidak menyangka akan memasak akhirnya. Ini kerana saya sudah mengupah tukang masak dan selepas dia berhenti, barulah saya belajar memasak.

“Biarpun pada mulanya agak sukar dan saya terpaksa mengikut betul-betul resipi, malah mengubah banyak kali sukatan dan jenis bahan digunakan bagi mendapatkan yang terbaik, saya gembira dan kini setiap hari pasti tidak lengkap sekiranya tidak memasak,” katanya.

Malah menurutnya, selepas 10 hari tukang masak itu berhenti, dia sudah boleh memasak hidangan sendiri, malah mencipta mesin khas iaitu lesung batu besar untuk menghasilkan sambal mengikut cita rasanya kerana Madam Kwan gemarkan tekstur cili seperti ditumbuk batu lesung.

Bercakap mengenai makanan kegemarannya iaitu nasi lemak, ibu kepada empat anak itu berkata, paling ditekankan dalam hidangannya itu adalah sambal dan nasi yang dimasak dengan butirannya tidak melekat antara satu sama lain.

Selain itu, bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan masakan yang dinikmati di restorannya, Madam Kwan hanya memilih daging tempatan kerana ia lebih segar dan mempunyai rasa lebih sedap.

Pada 1999, dia kemudian membuka restoran Madam Kwan’s bagi menawarkan makanan benar-benar sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia dan hidangan istimewanya sudah tentu nasi lemak.

Hasil dedikasinya, restoran itu maju dan hingga kini sudah mempunyai lapan cawangan seluruh negara iaitu di pusat beli-belah, Bangsar Shopping Centre, Empire Subang, Mid Valley Megamall, 1 Utama, Pavilion, Sunway Pyramid, Alamanda Putrajaya dan Suria KLCC.

Malah, melebarkan sayapnya untuk berkembang lebih jauh, Madam Kwan’s juga kini mempunyai satu cawangan di Singapura.

Biarpun boleh berehat menikmati hasil komitmen selama puluhan tahun, Madam Kwan memilih untuk terus berbakti kepada restoran dan bertemu pelanggan yang sekian lama memilih restorannya untuk menikmati hidangan.

Setiap hari dia ke dapur utama terletak di tengah Kuala Lumpur, yang membekalkan hidangan di semua cawangan restoran Madam Kwan’s untuk memasak nasi, kari ayam dan rendang daging, tanpa bantuan orang lain.

Malah kebanyakan hari, dia berdiri di hadapan Madam Kwan’s cawangan Pavilion untuk menyambut pelanggan serta menghidangkan makanan kepada mereka.

Berpegang kepada falsafah melakukan yang terbaik dalam semua perkara, Madam Kwan seorang yang sangat teliti sehingga menghasilkan sendiri serbuk kari dan sos dengan rasa tersendiri yang hanya boleh dinikmati di restorannya.

“Melihat pelanggan puas hati makan di restoran memberi dorongan kuat kepada saya untuk terus mengekalkan kualiti makanan terbaik.

“Selain itu, setiap kali melihat pelanggan masuk ke restoran, ia membuatkan saya berasa sangat bangga dan gembira kerana mereka memilih Madam Kwan’s untuk menikmati makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 9:38 AM