DARI kiri Maureen Ooi, Catherine dan Kwan melancarkan buku biografi dan resipi.
DARI kiri Maureen Ooi, Catherine dan Kwan melancarkan buku biografi dan resipi.
Siti Zarinah Sahib

Di sebalik jenama Madam Kwan’s yang terkenal dengan hidangannya yang enak dan lazat, tidak ramai tahu kisah wanita bersemangat kental pemilik nama berkenaan.

Dilahirkan pada 15 Mac 1934, Madam Kwan Swee Lian yang kini berusia 83 tahun, masih gigih bangun seawal pagi bagi memantau penyediaan makanan di dapur utama terutama membabitkan rempah ratus masakan.

Menghabiskan masa enam jam setiap hari bermula jam 5 hingga 11 pagi pada usia sebegini, Kwan masih kuat memastikan kelancaran proses penyediaan makanan.

Malah sejak beberapa tahun lalu dia melakukan semua perkara bermula daripada mendapatkan bahan basah di pasar, memotong bahan sehing­ga memasak di dapur. Kemudian dia pulang ke rumah bagi membersihkan diri sebelum memandu ke pusat beli-belah Pavilion bagi bertemu pelanggan.

Bagi pengunjung yang pernah menjamu selera di restoran Madam Kwan’s di Pavilion mungkin menyedari kehadiran susuk tubuh kecil dengan penampilan ringkas bertopi dan berkaca mata berbingkai besar yang menjadi identitinya, ramah menyapa pelanggan.

Inilah yang dilakukan Kwan setiap hari tanpa jemu bagi memastikan dirinya dekat dengan pelanggan selain mendapatkan maklum balas pengunjung mengenai makanan kesukaan mereka.

Membuka restoran pertama Madam Kwan’s di Bangsar Baru pada 1999, selepas dikenali dengan nama Restoran Sakura yang beroperasi sejak 1977. Melalui pengalaman suka dan suka dalam perniagaan hari ini, Madam Kwan’s bertapak di pusat membeli-belah utama negara termasuk Suria KLCC, Pavilion KL, Mid Valley Megamall, Bangsar Shopping Centre, One Utama Shopping Centre, Empire Shopping Gallery dan Sunway Pyramid serta di Genting Highlands Resort.

Sebagai penghormatan kepada tokoh yang fasih bertutur dalam bahasa Kantonis dan Melayu ini, dia bersama ahli keluarga menerbitkan biografi bagi berkongsi kehidupan di samping menampilkan resipi kegemarannya daripada zaman kanak-kanak selain resipi Madam Kwan’s sendiri.

Buku Madam Kwan: Her Untold Story And Beloved Recipes ditulis oleh cucu perempuannya, Catherine Foo, berkisar kepada latar belakang Kwan bermula sebagai gadis syampu di salun kemudian sedikit demi sedikit bertatih menimba ilmu dalam perniagaan sehingga mampu membuka Salun Kecantikan Sakura di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Namun pada 1977, Kwan membuat keputusan me­ngejut apabila memutuskan menutup salun kerana ingin menceburi perniagaan makanan. Dengan bantuan anak lelaki, Rudy dan menantu Maureen, Restoran Sakura dibuka yang mengetengahkan makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Menurut Kwan, untuk berada pada tahap sekarang bukanlah mudah. Tanpa sokongan keluarga dan pelanggan sudah pasti Sakura dan Madam Kwan’s tidak wujud sehingga sekarang.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi keluarga dan pelanggan setia. Selain itu kesabaran, kesetiaan dan usaha keras anak, menantu serta pekerja dalam mengendalikan perniagaan ini sangat membantu bagi mengukuhkan jenama sehingga dikenali ramai.

“Sokongan yang tidak berbelah bahagi selama bertahun-tahun sama ada untuk Madam Kwan’s dan Sakura meringankan beban saya. Kegembiraan yang terpancar pada wajah pelanggan apabila mereka keluar dari restoran sangat bererti buat saya,” katanya.

Biografi ini turut me­nyentuh mengenai kehidupan peribadi Kwan dan kisah kehilangan anak lelaki sulung serta keluarganya dalam tragedi Highland Towers pada 1993, diikuti kematian anak lelakinya dalam tempoh 10 tahun kemudiannya.

TAMPIL 25 RESIPI

Buku biografi ini dimuatkan resipi lazat melambangkan latar belakang Kwan yang berketurunan Hakka, selain menu kegemaran barat dan Malaysia.

Sebanyak 25 resipi dipilih termasuk menu kegemaran klasik seperti Hainanese chicken chop, udang petai beraroma, kari kepala ikan dan nasi bojari yang menjadi hidangan ikonik Kwan.

Menurut penulis buku yang juga cucu perempuan Kwan, Foo, dia amat berbangga kerana dapat memberi penghormatan kepada neneknya dengan penghasilan buku resipi dan biografi ini.

“Pada saya nenek seorang wanita yang menakjubkan. Kali pertama mendengar ceritanya saya begitu terharu dan terkesan. Saya fikir kisah yang diceritakan buat kali pertama secara terperinci ini adalah bukti kekuatan dan semangat yang ada dalam dirinya. Saya harap pembaca juga selesa membaca mengenai kisah nenek sebagaimana saya seronok belajar peristiwa pahit manis yang dilaluinya,” kata Foo semasa majlis pelancaran di Bangsar.

Ketua pegawai eksekutif syarikat, Datin Maureen Ooi menjelaskan buku itu diterbitkan bagi memberi penghormatan kepada pencapaian ibunya. Sebab itulah buku biografi itu diselitkan beberapa resipi kegemarannya kerana kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting dalam hidupnya sejak dari awal lagi.

“Buku ini adalah penghormatan kepada wanita yang bersemangat gigih dan kental iaitu Madam Kwan dalam sepanjang kerjaya sebagai usahawan dan juga ibu berjaya,” katanya.

Meraikan kehidupan yang penuh warna-warni dan sumbangan Kwan dalam mempromosikan juadah Malaysia, Madam Kwan’s turut memperkenalkan Pes Kari Madam Kwan, yang mempunyai rempah ratus beraroma seperti kunyit, serai, belacan dan buah keras.

Pes kari sedia dimakan itu memudahkan orang ramai menyediakan juadah istimewa seperti rendang daging, kari ayam, kari kepala ikan serta laksa kari di rumah.

Kedua-dua pes kari dan buku Madam Kwan: Her Untold Story And Beloved Recipes boleh didapati di semua cawangan Madam Kwan’s selagi stok masih ada. Buku ini dijual pada harga RM89 senaskhah, manakala Pes Kari Madam Kwan pula dijual dengan harga RM13.90.

Untuk tawaran yang lebih bernilai, pelanggan boleh membeli set buku dan pes kari ini secara kombo dengan harga RM100 bersama beg jinjing khas. Mereka yang berhasrat mendapatkan naskhah yang ditandatangani Madam Kwan dan ingin berjumpa dengannya sendiri boleh hadir di restoran di Pavilion Kuala Lumpur pada 30 September dan Mid Valley Megamall pada 7 Oktober, antara jam 3 hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 12:54 PM