Keadaan kereta enam sekeluarga yang terkorban. FOTO ihsan pembaca
Keadaan kereta enam sekeluarga yang terkorban. FOTO ihsan pembaca
Oleh Rosli Ilham

Chukai: Enam sekeluarga maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terperosok di bawah treler yang berhenti di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer 258.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Perasing, dekat sini, tengah hari tadi.

Kemalangan pada 12.30 tengah hari itu mengorbankan pemandu kereta, Azaman Ramli, 49; isterinya Nur Akmal Mohd Zain, 49; dua anak Azaman bersama bekas isteri iaitu Hakim Azaman, 12, dan Aliff Hateem Azaman, 16; Noor Amira Syahirah Alias, 22, (anak Nur Akmal bersama bekas suami) serta anak angkat pasangan terbabit, Aqeel Muslim Abdullah yang berusia tiga tahun.

Difahamkan, keluarga terbabit yang tinggal di Kuala Terengganu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sempena cuti Maal Hijrah.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, semua mangsa yang tersepit di dalam kereta, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

"Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan jalan licin. Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Cheneh serta Gebeng, Kuantan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat semua mangsa," katanya.

Menurutnya, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 6:11 PM