Kuala Lumpur: ZTE Corporation (ZTE), penyedia sistem telekomunikasi, peranti mudah alih dan penyelesaian teknologi perusahaan global dari China sedang mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan dan swasta untuk bekerjasama bagi melaksanakan lebih banyak projek bandar pintar di negara ini.

Pengarah Urusan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd, Steve Ge berkata, kerjasama itu akan menyaksikan pihaknya membekalkan teknologi terkini bagi keperluan sesebuah bandar pintar berpandukan kepada projek perintis kerjasama awam swasta yang sudah dilakukan di China.

“Kami masih berada di peringkat awal perbincangan dengan pihak di sini namun ia dijangka mampu mewujudkan sebuah bandar yang menepati ciri sebagai bandar pintar dengan kemudahan teknologi terkini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Jalur Lebar Antarabangsa, semalam.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya sudah membangunkan teknologi di kebanyakan bandar di China dengan beberapa kemudahan namun ia tidak bersifat menyeluruh.

“Kami memiliki kira-kira 11 model teknologi yang dilaksanakan secara berasingan di bandar sekitar China di bawah Projek Bandar Pintar 2.0 namun kami akan membangunkan sebuah bandar di barat daya China yang dilengkapi 11 model bersepadu termasuk sistem trafik, pengawasan, pengurusan kerajaan dan lain-lain,” katanya.

Ge berkata, syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan operator telekomunikasi seperti DiGi dalam menyediakan platform perkhidmatan lengkap 2G, 3G dan 4G serta U Mobile sebanyak 80 peratus (3G dan 4G).

“Kami juga turut menjalinkan kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar 4G khusus di kawasan luar bandar melalui program yang dikenali sebagai Projek Oren,” katanya.

Selain itu, ZTE mengadakan kerjasama dengan operator telekomunikasi di negara ini untuk mewujudkan perkhidmatan perusahaan selain membantu pihak kerajaan dalam menawarkan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan perniagaan ke perniagaan (B2B).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 6:55 AM