PEMANDANGAN bukit dan laut di Universiti ZTE.
PEMANDANGAN bukit dan laut di Universiti ZTE.
MODEL bangunan ibu pejabat ZTE di Shenzhen, China.
MODEL bangunan ibu pejabat ZTE di Shenzhen, China.
TEKNOLOGI pemancar telekomunikasi.
TEKNOLOGI pemancar telekomunikasi.
TELEFON pintar Android keluaran ZTE.
TELEFON pintar Android keluaran ZTE.
Oleh Afiq Hanif

Nama besar dalam industri rangkaian, ZTE nampaknya benar-benar mengambil kesempatan ketika dunia mendahagakan kepantasan Internet dalam kehidupan seharian.

Kini, kebanyakan negara mendahagakan pemasangan rangkaian 4G LTE berskala besar dan tidak lain, ZTE menjadi pembekal nombor satu sistem 4G LTE bukan saja di tanah besar China, tetapi 70 peratus syarikat telekomunikasi di seluruh dunia memakai sistem 4G LTE yang ditawarkan ZTE.

Di Malaysia, ZTE menyediakan teknologi LTE kepada syarikat seperti Telekom Malaysia Berhad (TM), DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

Ia dibuktikan dengan keuntungan berkaitan 4G LTE yang mencatat kenaikan 200 peratus pada tahun lalu kepada RM2.6 bilion berbanding tahun sebelumnya.

ZTE membekalkan 34 peratus projek 4G LTE kepada syarikat telekomunikasi, China Mobile dan 42 peratus kelengkapan 4G LTE kepada satu lagi syarikat, China Telecom yang mana kedua-duanya gergasi telekomunikasi di China.

Pada 2009, ZTE LTE disenaraikan agensi penyelidik, Gartner dalam tiga teratas pembekal prasarana LTE dunia.

ZTE mempunyai lapan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertempat di Amerika Syarikat, Eropah serta China.

Terdapat lebih 5,000 penyelidik yang fokus kepada penyelidikan berkaitan rangkaian radio, terminal, teras serta LTE.

LTE-Advanced, FDD dan TDD LTE

ZTE berjaya menyediakan prasarana LTE-A di Hong Kong dan Belgium yang menggunakan teknologi FDD LTE-A pada jalur 1800 & 2600MHz berupaya menyelesaikan masalah utama rangkaian berkaitan teknologi terbabit kepada pengguna.

Buat masa ini, belum ada satu set cip bagi telefon pintar yang mampu menyokong kedua-dua teknologi FDD & TDD LTE serentak.

Syarikat sama mensasarkan rangkaian berkualiti tinggi kepada pengguna sehinggakan dalam satu ujian oleh Shanghai Telekom di satu kawasan kecil dengan penempatan 400 pengguna, kelengkapan ZTE memberikan pengalaman terbaik sehingga mencatat '0' panggilan terputus sambil memberikan aliran data tinggi dan stabil.

Pada penghujung September baru-baru ini, ZTE melancarkan Q-cell, sebuah pemancar piko untuk kegunaan operator mudah alih dalam bangunan.

Ia berkuasa rendah dan berhubung menggunakan kabel LAN biasa, malah dengan menggunakan RPU ZTE, ia boleh digabungkan untuk membekal rangkaian daripada UMTS sehingga LTE kepada pengguna.

Model perniagaan baru serta dunia komunikasi masa depan

Pengurus Besar Strategi Korporat di Jabatan Perancangan ZTE, Dr George Sun berkata, syarikatnya menjangkakan teknologi 5G dalam masa yang tidak terlalu jauh.

"Ia sekali gus membolehkan lebih banyak komunikasi dapat dilakukan yang mungkin akan menggabungkan kemudahan WiFi dengan jarak capaian jauh dari syarikat telekomunikasi," katanya.

Model perniagaan Internet masa kini juga mula menampakkan perbezaan.

Menurut Sun, seperti Alibaba, ia menyediakan data percuma untuk pengguna melayari laman web mereka.

"Dengan ini, Alibaba akan membayar secara pukal setiap penggunaan pengguna mereka kepada syarikat telekomunikasi yang dinamakan 'reverse charge'," katanya.

Menurutnya, model perniagaan di Jepun pula menyaksikan syarikat telekomunikasi seperti AT&T serta NTT Docomo mempunyai pelanggan perniagaan sehingga 15 peratus daripada jumlah pelanggan biasa mereka yang sanggup membayar harga tinggi untuk penggunaan data berkelajuan tinggi.

"Ia membolehkan mereka menyediakan infrastruktur terbaik dan terkini," katanya.

Namun, Sun berkeyakinan trend di seluruh dunia jelas menunjukkan penggunaan data yang semakin meningkat.

"Sekali gus, ia memerlukan peningkatan penggunaan data dan perlu menjadi perhatian khusus bagi teknologi 5G akan datang," katanya.

ZTE mempunyai semua kelengkapan bagi menyediakan semua model baru perniagaan seperti yang diperlukan Alibaba serta teknologi rangkaian terkini diperlukan di Jepun.

Malah, ZTE sudah membangunkan model bandar pintar, M-ICT yang menyediakan pembinaan bandar dengan penjimatan tenaga, teknologi terkini serta sistem pendidikan dan perubatan pintar.

Selain ini, ZTE turut menyediakan perkhidmatan pengurusan bagi syarikat yang mahukan pengurangan kos dalam pengurusan mereka.

"Sistem ini dibuat secara 'cloud' yang diletakkan dalam pusat data ZTE dan kami juga membantu syarikat telekomunikasi serta perniagaan menggunakan sebahagian pusat data ZTE," kata Sun.

ZTE turut menjadi pembekal aplikasi dan kandungan sebagai perkhidmatan tambahan kepada pelanggan mereka.

Di Malaysia, ZTE sudah beroperasi lebih 10 tahun yang memberi perkhidmatan kepada operator telekomunikasi utama Malaysia.

Pada tahun 2009, ZTE dilantik sebagai rakan utama projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Telekom Malaysia.

Seterusnya bagi 2011, DiGi melantik ZTE untuk membekalkan penyelesaian sistem GSM, UMTS dan LTE.

Pada tahun 2013 pula, ZTE dianugerahkan kontrak 'Core Network DRP' oleh U Mobile. Terkini, ZTE mendapat kontrak Fasa Pertama 'TM LTE 850M' dan pasa masa yang sama dalam perbincangan dengan Celcom Axiata Berhad (Celcom) serta Maxis Berhad (Maxis) bagi menyediakan penyelesaian ZTE kepada mereka.

ZTE menyediakan beberapa pusat latihan di Malaysia dengan 400 tenaga pengajar yang dianggotai oleh rakyat tempatan dan serantau sambil mengakui Malaysia mempunyai antara jurutera paling mahir untuk dilatih menjadi pakar.

Awal tahun ini, ZTE mendatangai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menyediakan makmal rangkaian kepada fakulti kejuruteraan universiti terbabit.

MoU ini antaranya menyatakan akan menghasilkan sehingga 5,000 jurutera bertauliah dengan kepakaran berkaitan rangkaian, terutama produk dan sistem ZTE.

Telefon pintar

Dari aspek pengguna pula, ZTE melancarkan lima model telefon pintar berasaskan Android di Malaysia.

Fokus utama bukan di sebalik kecantikan, sebaliknya ciri keselamatan di telefon mereka. ZTE bekerjasama dengan Nuance bagi menghasilkan aplikasi pengecaman suara yang lebih baik daripada aplikasi suara Apple, Siri.

Mereka juga membangunkan aplikasi kamera yang hebat tanpa memerlukan perkakasan kamera berkuasa tinggi yang dibekalkan pihak ketiga.

Bayangkan di Amerika Syarikat telefon pintar ZTE menduduki tangga keempat dengan tujuh peratus penguasaan pasaran.

Universiti teknologi

Tidak terhenti di situ, ZTE membangunkan universitinya sendiri dengan hasrat melahirkan lebih ramai jurutera pakar rangkaian dan telekomunikasi.

Pada 2013, ZTE yang menubuhkan universiti mereka membentuk modul pelajaran yang berbeza daripada kaedah pembelajaran di universiti lain.

ZTE memberi penekanan tinggi kepada suasana pembelajaran apabila universitinya direka dengan konsep santai seperti menginap di resort tepi pantai.

Universiti ZTE yang ditubuhkan di Shenzhen, China terletak di lereng bukit yang menghadap laut. Ia dikelilingi oleh bukit yang menghijau dengan bayu laut yang bertiup sepoi bahasa.

Modul pelajaran yang digunakan Universiti ZTE lebih hampir kepada bentuk latihan korporat.

Universiti ZTE tidak meletakkan modul wajib bagi pelajar menghabiskan program apabila pelajar sendiri boleh memilih subjek yang mereka mahukan.

Bagaimanapun, universiti ini menyediakan latihan korporat jangka pendek yang menumpukan produk berkaitan ZTE sekali gus mengiktiraf mereka dengan pentauliahan sijil kepakaran yang membolehkan mereka mengendalikan produk ZTE.

Malah, Universiti ZTE bekerjasama dengan universiti lain bagi program berkembar. Meskipun belum diperluaskan, program berkembar seperti kerjasama dengan UiTM membuka ruang kepada ZTE membangunkan makmal rangkaian ZTE yang memudahkan pelajar membuat amali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:06 AM