Wai Phyo (kiri) dan Zaw Lin.
Wai Phyo (kiri) dan Zaw Lin.

Bangkok: Peguam bela dua rakyat Myanmar yang didakwa membunuh dua pelancong Britain di sebuah pulau peranginan di Thailand menuduh polis mendera anak guamnya.

Nakhon Chompuchat mendakwa, polis memukul, mendera serta mengancam ‘menghilangkan mereka’ bagi mendapatkan pengakuan tertuduh.

Tuduhan polis Thailand mendera tertuduh dalam sesuatu kes untuk mendapatkan pengakuan mereka bukan perkara baru.

Dalam satu wawancara dengan The Associated Press, Nakhon memberitahu secara terperinci mengenai peras ugut, ancaman dan keganasan fizikal yang dialami tertuduh.

Polis Thailand sebelum ini sering menafikan kedua-dua tertuduh, Wai Phyo dan Zaw Lin didera.

Perbicaraan pembunuhan David Miller, 24, dan kekasihnya, Hannah Witheridge, 23, berakhir kelmarin.

Nakhon berkata, hakim memberi masa sehingga 26 Oktober ini untuk dia dan pendakwa raya menyampaikan hujah penggulungan sebelum keputusan dibuat pada 24 Disember.

Mayat pasangan itu yang cedera dipukul dijumpai pada 14 September tahun lalu di pantai di pulau Koh Tao.

Bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala dan Hannah juga dirogol. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:55 AM