DUA beradik ditemui di dalam bilik tidur berasingan selepas api dipadamkan sepenuhnya. FOTO ihsan Bomba
DUA beradik ditemui di dalam bilik tidur berasingan selepas api dipadamkan sepenuhnya. FOTO ihsan Bomba
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Tumpat: Dua beradik berusia 23 dan 33 tahun ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Pengkalan Kubor di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, Mohd Zulhilmi Asaari, 33, dan adiknya Mohd Nasrullah, 23, ditemui di dalam bilik tidur berasingan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Nazah Nafi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.14 tengah malam sebelum 20 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya setibanya di lokasi kejadian rumah berkenaan sudah 80 peratus terbakar.

"Maklumat awal kami perolehi, dua mangsa terperangkap dalam rumah.

"Selepas api dipadamkan sepenuhnya pada 1.46 pagi, kami menemui dua beradik itu di dalam bilik berasingan," katanya.

Nazah berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kerugian dianggarkan RM80,000 dan punca kejadian masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 8:31 AM