Oleh Fatin Farhana Japre

FATIN FARHANA JAPRE tertarik dengan bakat seorang gadis muda yang boleh melukis dan mewarna sebuah potret menjadi lukisan seakan-akan ‘hidup’.

Sekali pandang lukisan potret pelakon terkenal, Lisa Surihani seakan-akan hidup. Itulah bakat semula jadi yang dimiliki gadis yang bernama Nur Amanina Hanis Isman (Amanina), 13.

Berbakat dalam bidang melukis susia kecil, membolehkan Amanina menghasilkan pelbagai jenis lukisan seperti ‘doodle’, lakaran wajah dan apa saja yang berkait dengan seni.

“Sewaktu masih kecil, ibu selalu mendaftarkan saya untuk pertandingan mewarna dan melukis, tetapi bakat melukis potret ha­nya saya sedari pada Oktober tahun lalu.

“Ia bermula apabila saya sering melukis karakter kartun dan ‘doodle’ dalam kelas. Kemudian, saya memuat naik lukisan kartun itu di laman sosial Instagram (@drawspleasure).

“Seorang rakan melihat hasil lukisan saya dan mencadangkan supaya melukis potret wajah. Saya tidak pernah melukis potret, tetapi cuba melukis potret pelakon terkenal Malaysia, Lisa Surihani, meskipun hasilnya kurang cantik. Namun saya tidak berputus asa dan teruskan berlatih melukis terutama pada bahagian mata sehingga mahir,” kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Ternyata usahanya selama lima bulan tidak sia-sia apabila dia sudah boleh melukis potret wajah artis lain dengan cantik sekali. Penulis juga sangat tertawan melihat hasil lukisannya yang seakan-akan hidup kerana Amanina banyak bermain dengan warna.

“Saya mula menjadi tumpuan netizen terutama­nya di laman sosial Instagram selepas memuat naik hasil lukisan potret saya. Ini kerana terdapat satu akaun Instagram yang me­ngumpulkan seni lukisan berkongsi hasil lukisan saya di akaunnya. Sejak itu, saya teruskan minat melukis potret apabila mempunyai masa terluang.

“Usaha untuk lebih mahir terhadap hobi ini tidak terhenti di situ, saya mula belajar teknik melukis bahagian asas wajah seperti mata, mewarna mengikut tona yang sesuai dan melakar daripada Internet. Kebanyakan potret yang saya lukis semuanya adalah idola saya seperti Cara Delevingne, Song Ji Hyo, Chloe Moretz dan Taylor Swift,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi ini.

Menurut Amanina, setiap malam dia akan meluangkan masa selama dua jam untuk melukis. Ini kerana setiap satu lukisan me­ngambil masa empat hari untuk siap sepenuhnya. Faktor dia memilih warna untuk menghidupkan lukisannya kerana baginya potret berasaskan tona warna putih dan hitam sudah agak biasa.

“Saya mencari kelainan menghidupkan lukisan potret saya menggunakan pensel warna khas dan berkualiti. Jika saya benar-benar teliti, hanya makan masa sehari saja untuk siap. Antara peralatan asas yang diperlukan ialah pensel warna, warna karisma dan prisma, pen marker, kertas lukisan serta putik kapas.

“Kini, saya turut menjual hasil lukisan saya di laman sosial dan menerima tempahan daripada orang ramai. Setiap lukisan bersaiz 270mm X 185mm berharga RM90 disertakan dengan bingkai gambar, tetapi bergantung kepada permintaan pelanggan. Dalam masa seminggu, lukisan potret berkenaan akan di pos ke rumah mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, keluarganya memberi sokongan penuh terhadap minatnya ini dan sering membelikan peralatan melukis untuknya. Namun begitu, dia bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran selepas tamat persekolahan, tetapi pada masa sama dia mahu mengembangkan bakatnya dalam bidang lukisan.

Amanina tidak mahu mensia-siakan bakat semula jadi yang dikurniakan Allah untuknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 5:27 AM