Reuters

Liverpool: Liverpool perlu menggilirkan skuad mereka musim ini jika mahu terus memberi cabaran dalam kedua-dua Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara, kata pengurusnya Juergen Klopp.

Klopp membuat lima pertukaran kepada kesebelasan pertamanya Sabtu lalu yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace, berselang dengan dua perlawanan playoff Liga Juara-Juara menentang Hoffenheim.

Pengurus kelahiran Jerman itu tidak memandang remeh biarpun mendahului 2-1 ke atas kelab Bundesliga itu menjelang aksi timbal balik di Anfield.

“Kita semua mengalami tekanan dan perlu sentiasa pantas,” kata Klopp.

“Anda perlu berada di sana segera, dan terus mempamerkan aksi terbaik.

“Perbezaannya tahun ini adalah ia memang sukar, kita semua tahu perlawanannya hari ini, dua mata berbanding empat atau enam, ia tidak menyeronokkan, tetapi anda boleh menyelesaikannya.

“Anda tidak boleh melakukan perkara ini dalam kelayakan Liga Juara-Juara. Tekanannya begitu hebat bukan saja bagi kedua-dua pasukan, bukan kami saja dan ya, ia sesuatu yang istimewa dan itulah sebabnya kami melakukan pertukaran hari ini.”

Pemain gantian Dejan Lovren, Emre Can dan Mohamed Salah dijangka kembali dalam kesebelasan utama menentang Hoffenheim awal pagi Khamis.

Klopp berkata, beliau akan terus menggilirkan pemainnya ketika kejohanan Eropah selagi penggantinya terus mampu mempamerkan aksi menarik.

Selepas perlawanan kelayakan Eropah itu, Liverpool akan menanti kunjungan Arsenal Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 9:19 AM