BAKAL lancar 2 gajet terbaru Apple serentak pada 16 Oktober ini.
BAKAL lancar 2 gajet terbaru Apple serentak pada 16 Oktober ini.
Oleh Afiq Hanif

Empat syarikat telekomunikasi popular di negara ini iaitu Maxis Berhad (Maxis), Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) bakal melancarkan dua gajet terbaru Apple serentak pada 16 Oktober depan.

Celcom dan Maxis masing-masing bakal membuka tempahan secara online bagi pembelian iPhone 6s dan 6s Plus bermula 6 dan 9 Oktober manakala Digi dan U Mobile sudah membuka borang praminat di laman web masing-masing.

Apple sendiri akan membuka setor online pada 16 Oktober dan dijangka penghantaran ke rumah pembeli akan dilakukan dalam tempoh tiga hari waktu bekerja.

iPhone 6s dan 6s Plus membawa dimensi baru yang berkuasa untuk revolusi antaramuka Multi-Touch dengan Touch 3D yang memberi sensor tekanan pada paparan yang lebih baik membolehkan pengguna melakukan kerja penting lebih pantas.

Fungsi Touch 3D sebelum ini sudah ada pada Apple Watch dan MacBooks, tetapi iPhone 6s akan mempunyai versi naik taraf berteknologi tekanan sensitif.

Tidak seperti Apple Watch dan MacBook yang boleh membezakan antara tekan dan sentuh, Touch 3D bagi iPhone baru akan membolehkannya mengesan sentuh, tekan dan tekan lebih kuat.

Manakala iPad Pro dijangka dilancarkan di Malaysia pada penghujung November ini dengan saiz skrin 12.9 inci bersama cip pemprosesan A9x 64 bit yang didatangkan juga bersama aksesorinya, stylus Pencil.

iPad Pro mempunyai 78 peratus saiz lebih besar berbanding iPad Air 2 dengan berat 713g yang dikatakan pesaing tablet Microsoft Surface.

Ia mempunyai tahap kenipisan 6.9mm dengan resolusi skrin 2,732 x 2,048 piksel cukup besar untuk selesa melihat dua aplikasi sebelah-menyebelah.

Tablet ini seakan-akan laptop kerana saiz yang besar dengan prestasi grafik 80 peratus lebih pantas berbanding PC mudah alih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:35 AM