SITI Hajar menunjukkan produk syarikatnya yang berasaskan herba.
SITI Hajar menunjukkan produk syarikatnya yang berasaskan herba.
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil


Khasiat dan keistimewaan pelbagai jenis herba seperti mengkudu, delima, limau kasturi, durian belanda dan tongkat ali untuk kesihatan dimanfaatkan sepenuhnya seorang usahawan dengan mengkomersialkannya sebagai produk minuman popular.

Dengan mengadunkannya bersama kopi terpilih, Seri Mahanur Enterprise (SME) kini mengeluarkan produk kesihatan berasaskan herba iaitu Minuman Kopi dan Koko Cassia, Minuman Alpinia, Jus Cinoni dan Jamu Nuur Herbs.

Pemilik SME Siti Hajar Johari, 33, berkata, usaha­nya bermula pada 2012 sebaik menubuhkan syarikat itu bagi menjadikan perniagaannya lebih berdaya saing dan maju.

Menurutnya, produk kopi dan koko itu dicampur dengan herba terpilih dengan aktviti pemprosesannya berpandukan Amalan Pengilangan Baik (GMP) di kilang milik sebuah syarikat Bumiputera di Shah Alam, Selangor.

“Pada mulanya, saya hanya mengeluarkan satu produk iaitu Kopi Cassia, tetapi kini meningkat kepada enam produk.

“Semua produk berkenaan mengandungi beberapa herba terpilih, antaranya madu lebah, mengkudu, limau kasturi, delima dan durian belanda selain rempah-ratus yang diimport dari India.

“Produk kami turut mendapat pengiktirafan Institut Piawaian Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selain memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika ditemui di Pusat Jualan SME di Taman Melati, Senawang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Siti Hajar yang kini bergabung dengan Koperasi Groom Big Negeri Sembilan berkata, produknya mendapat sambutan ramai dan dipasarkan di seluruh negara menerusi stokis dan ejen dilantik.

“Setakat ini, sambutan terhadap produk ini memberangsangkan, tetapi saya akui belum mampu memenuhi sepenuhnya permintaan kerana pengeluaran bulanan masih terhad.

“Bagaimanapun, usaha sedang dilakukan untuk neningkatkan pengeluaran kerana ia bergantung kepada keupayaan kilang. Dijangka pengeluaran dapat ditingkatkan menjelang awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Sembilan antara pihak yang membantunya mengembangkan perniagaan itu.

Siti Hajar yang dibantu dua pekerja berkata, SME me­nyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya, baru-baru ini dengan bantuan dan kerjasama FAMA.

Melalui karnival itu, ia memberi peluang kepada­nya mempromosi secara lebih meluas produk syarikatnya.

“Sebagai orang baru dalam bidang ini, saya perlu bekerja keras melakukan aktiviti promosi kerana ketika ini ada lebih 300 produk minuman herba keluaran pelbagai syarikat di pasaran.

“Jika tidak gigih melakukan promosi, sukar untuk produk ini mendapat tempat, apatah lagi jika mahu dijual di pasar raya atau bersaing dengan minuman keluaran syarikat berjenama,” katanya.

Siti Hajar bagaimanapun bersyukur kerana kerja kerasnya selama empat tahun membuahkan hasil apabila produknya mendapat tempat di hati pelanggan.

Beliau juga berhasrat meluaskan pasaran produk itu ke luar negara terutama Singapura dalam tempoh terdekat, selain melantik lebih ramai stokis dan ejen tempatan.

“Sasaran saya mahu lantik sekurang-kurangnya 50 ejen menjelang Disember depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:20 AM