DARI kiri Pengarah Operasi CB&TL Mohammad Amar Shah,  Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Dr Cheah bersama replika cek bernilai RM40,000 sumbangan CB&TL kepada Persatuan Systemic Lupus Erythematosus Malaysia.
DARI kiri Pengarah Operasi CB&TL Mohammad Amar Shah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Dr Cheah bersama replika cek bernilai RM40,000 sumbangan CB&TL kepada Persatuan Systemic Lupus Erythematosus Malaysia.

Sebagai tanda sokongan kepada Persatuan Sistematik Lupus Erythematosus Malaysia (PSLEM), The Coffee Bean & Tea Leaf (CB&TL) menyalurkan sumbangan RM40,000 sempena majlis makan malam ulang tahun ke-20 persatuan itu baru-baru ini.

Kutipan amal ini adalah sebahagian daripada inisiatif Caring Cup CB&TL, yang diperoleh daripada hasil jualan campuran teh eksklusif lemon myrtle, bunga malva dan tea blossoms dengan perisa raspberi. Diberi nama Blue Tiger Tea, campuran edisi terhad ini direka khas oleh pakar teh CB&TL, David de Candia.

Inspirasi daripada pengalaman anaknya yang menghidap lupus dan cabaran yang dihadapi keluarganya, de Candia turut menghasilkan buku cerita kanak-kanak bertajuk Master Davey and the Magic Tea House yang dijual di cawangan CB&TL bersama penanda buku Blue Tiger Tea dan penanda hadiah Krismas pada 2014 lalu.

Menurut Pengarah Pemasaran dan Pembangunan di Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia Fiona Rodrigues, syarikat terbabit berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan kepada PSLEM bagi membantu penyelidikan dan kesedaran mengenai penyakit ini.

Melalui pengalaman pakar teh de Candia dengan penyakit lupus, CB&TL menjadikan kerja amal ini sebagai sebahagian daripada usaha CSR.

“Namun pujian perlu diberikan kepada pelanggan tetap yang menyokong usaha ini sepenuh hati. Impak yang diperoleh melalui usaha bersama ini mencetuskan inspirasi dan kami berharap dapat meneruskan kerjasama seumpama ini bagi menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Ditubuhkan pada 1994, PSLEM diterajui pesakit dan doktor untuk menggalakkan penyelidikan, kesedaran dan pendidikan di samping menyalurkan bantuan kepada penghidap penyakit lupus dan ahli keluarga mereka.

“Kami sangat berterima kasih dengan sumbangan daripada The Coffee Bean & Tea Leaf. Sumbangan ini dapat meningkatkan kesedaran di samping membantu ahli kami. Kami berterima kasih khususnya kepada pakar teh de Candia yang memberikan sentuhan peribadinya, dan kami berharap dapat bekerjasama lagi pada masa hadapan,” kata Presiden PSLEM Dr Benjamin Cheah.

Sistematik Lupus Erythematosus (SLE) ialah penyakit auto imun kronik yang tidak boleh diubati. Ia berlaku apabila badan menghasilkan jumlah antibodi yang banyak sehing­ga memberi tindak balas kepada tisu seseorang, dan ia selalunya dihidapi kaum wanita.

Di Malaysia, dianggarkan 10,000 individu didiagnosis dengan SLE sejak 30 tahun lalu namun persatuan ini percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi. Persatuan ini bergantung kepada sumbangan orang ramai dan sokongan korporat, seperti inisiatif Blue Tiger Tea CB&TL untuk menjayakan aktiviti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 4:56 AM