ABDUL Rahman (kiri) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan.
ABDUL Rahman (kiri) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan.
Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan melakukan bedah siasat mencari punca kemerosotan pasukan selepas skuad Peteh tewas tiga kali berturut-turut dengan jumlah jaringan besar.

Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, bedah siasat akan segera dilakukan bagi memastikan ‘virus’ kekalahan tidak terus menghantui pasukan Peteh apatah lagi bakal menentang LionsXII pada separuh akhir Piala FA, Sabtu ini.

“Kita tidak mahu menyalahkan pemain dan jurulatih, tetapi kita akan cari punca kemerosotan selepas tiga kali berturut-turut tewas, PBSNT mengharapkan semua pemain perlu memberi kerjasama baik,” katanya.

Sabtu lalu, hajat pasukan Peteh mencatat kemenangan musnah apabila tewas 2-3 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur biarpun mendahului menerusi jaringan Paulo Rangel.

Mengulas lebih lanjut, beliau mengakui skuad Terengganu belum panik dengan situasi terkini sebaliknya percaya jurulatih Abdul Rahman Ibrahim mempunyai ramuan tersendiri untuk membawa cabaran pasukan itu.

Selain itu Wan Ahmad Nizam percaya pemain pasti berusaha lebih gigih untuk bangkit dan seterusnya mencari kemenangan biarpun kini dihimpit kekalahan hatrik kepada pasukan FELDA United, PDRM dan terbaru Pahang.

Ketika ditanya adakah pemain mempunyai masalah dalaman dengan PBSNT, beliau menafikan perkara itu.

“PBSNT tidak ada masalah dengan bayaran gaji pemain ataupun jurulatih, cuma kita akan cari punca kemerosotan pemain untuk mengelak daripada terus kalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 8:50 AM