Oleh Siraj Mohd Zaini

Petaling Jaya : Polis menahan dua suspek lelaki berusia 30 dan 37 tahun pagi semalam, dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata di Mentari Court, Sungai Way, kelmarin.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, kedua-dua suspek ditahan polis pada jam 4.40 pagi semalam di sebuah rumah di kawasan sama.

Menurutnya, polis kini memburu baki dua suspek yang dipercayai masih bebas di daerah ini.

"Suspek yang berusia 37 tahun itu mempunyai empat rekod lampau membabitkan kecurian dan satu kes dadah.

"Polis sudah mengenal pasti semua lima anggota kumpulan penjenayah terbabit kerana tiga sudah ditahan dan usaha sedang giat dilakukan bagi memburu baki dua lagi suspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 7.48 malam kelmarin, sekumpulan penjenayah menaiki kereta Perodua Viva menyamun seorang lelaki dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke perut mangsa dan mengarahkannya menyerahkan beg sandang yang dibawa ketika itu.

Bagaimanapun, seorang suspek bertindak melepaskan tembakan hingga menembusi paha kiri rakannya di kawasan tempat meletak kenderaan di Mentari Court.

Mangsa yang dirompak mengalami kerugian sebentuk cincin emas bernilai RM2,000.12

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 3:36 PM