Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Seorang lelaki berusia 30-an merosakkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan tong sampah dalam kejadian di sebuah bank di Boulevard, Miri, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 3.45 pagi itu, suspek dikatakan merosakkan mesin berkenaan kerana marah apabila dia gagal mengeluarkan wangnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit, berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menghentak mesin itu menggunakan tong sampah yang diambil sebelah mesin itu.

Menurutnya, suspek dilihat menghentak skrin ATM berkenaan beberapa kali sebelum beredar.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengurus bank berkenaan, kira-kira 9 pagi hari ini," katanya.

Sehingga ini, katanya, polis masih mengesan suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 7:29 PM