GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

Los Angeles: Sebuah mahkamah di sini semalam memutuskan lagu ‘Happy Birthday’ milik awam seterusnya menolak tuntutan hak cipta dikemukakan syarikat Warner Music.

Hakim George King memutuskan lagu itu boleh dinyanyikan secara percuma di khalayak ramai berikutan Warner Chappell Music ‘tidak mempunyai hak cipta sah bagi liriknya.’

Keputusan itu mengakhiri prosiding perundangan sejak dua tahun lalu terhadap seorang ahli muzik dan pembuat filem yang menyaman Warner selepas diminta membayar AS$1,500 (RM6,523) kerana menggunakan lagu berkenaan dalam sebuah filem.

Dalam tuntutan mereka, Rupa Marya dan Robert Siegel berhujah lagu itu - yang dicipta pada lewat kurun ke-19 - adalah hak milik awam dan tidak mempunyai hak cipta.

Warner membeli syarikat yang sebelum ini mengaku berhak terhadap lagu itu pada 1988 dan mendakwa ‘Happy Birthday’ mendapat perlindungan hak cipta mengikut undang-undang pada 1935 yang masih sah.

Menurut Rekod Dunia Guinness, lagu Happy Birthday dalam bahasa Inggeris paling banyak dinyanyikan dan asalnya ditulis untuk murid tadika dengan judul ‘Good Morning to All’ (Selamat Pagi Semua).

Lagu itu dialih bahasa ke sekurang-kurangnya 18 bahasa.

Malah, Kongres Amerika Syarikat (AS) hampir disaman pada 1980-an selepas ahli Parlimen menyanyikannya untuk presiden ketika itu, Ronald Reagan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:21 AM