Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan pemain skuasy negara Nafiizwan Adnan berhubung kenyataan dikeluarkan pemain itu di mana mereka tidak lagi mahu menanggung perbelanjaannya berlatih di luar negara.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negra (MSN) Jefri Ngadirin berkata, bagi terus memartabatkan sukan itu beberapa pendekatan baru akan dilaksanakan termasuk pemberian peruntukan kepada atlet.

Katanya, jika dulu semua peruntukan terus disalurkan kepada atlet namun tidak lagi tahun ini apabila peruntukan itu akan disalurkan menerusi persatuan yang bertanggungjawab mengendalikan segala urusan membabitkan pengurusan kewangan setiap atlet di bawah kendalian mereka.

“Bukan MSN tidak mahu menanggung Nafiizwan namun atlet itu perlu berhubung dengan SRAM (Persatuan Skuasy Malaysia) kerana sekarang ini kami mempraktikkan pendekatan baru iaitu segala urusan bajet akan diserahkan kepada badan induk sukan itu.

“SRAM akan bertanggungjawab menguruskan segala dana diberikan kecuali dalam kes membabitkan ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang sudah terbukti kewibawaannya,” katanya.

Berhubung dakwaan bekas juara Asia 2011 itu, Jefri berkata, atlet itu perlu terus merujuk kepada SRAM mengenai keinginannya untuk berpangkalan di luar negara.

Mengulas mengenai pendekatan dengan memberikan dana kepada persatuan untuk mengurus atlet, Jefri berkata, pendekatan itu dilihat lebih berjaya membentuk atlet berkualiti dengan mengambil contoh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Kita melihat pendekatan menyalurkan dana terus kepada persatuan mampu melonjakkan keupayaan atlet. BAM contohnya berjaya menguruskan atlet mereka dengan baik dan prestasi atlet badminton juga cemerlang,” katanya.

Katanya, pendekatan itu diharapkan mampu melonjakkan keupayaan atlet skuasy selepas beberapa kekurangan dikenal pasti dan ketika ini sukan skuasy dilihat ketandusan bakat terutama bagi kategori elit lelaki yang boleh diketengahkan lebih jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:55 AM