Pellegrini (kiri) harap West Ham akan tewaskan skuad Juergen Klopp untuk beri peluang kepada City. FOTO REUTERS
Pellegrini (kiri) harap West Ham akan tewaskan skuad Juergen Klopp untuk beri peluang kepada City. FOTO REUTERS
BBC UK

PENGURUS West Ham Manuel Pellegrini mahu skuadnya menewaskan Liverpool, awal pagi esok untuk membantu kelab lamanya Manchester City kembali mencabar Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pendahulu EPL itu kini memiliki kelebihan dua mata dalam saingan perebutan gelaran liga tetapi masih ada baki satu perlawanan berbanding City yang mengatasi Arsenal 3-1, semalam.

Pellegrini menjulang EPL pada 2014 ketika mengendalikan kelab itu selama tiga tahun.

"Mula-mula sekali saya akan gembira untuk kelab ini (West Ham) jika kita menang," katanya.

"Jika kita mampu ‘menghulur tangan’ kepada Manchester City, ia bukan masalah kerana saya sememangnya peminat Manchester City."

"Kami memerlukan prestasi yang mantap berdepan pendahulu liga”.

West Ham berada di tangga ke-12 liga dan kalah tiga perlawanan mereka sebelum ini dalam semua pertandingan selepas menang 1-0 ke atas Arsenal pada 12 Januari.

Pellegrini turut mengesahkan pemain pertahanan, Winston Reid tidak akan beraksi selama setahun akibat kecederaan lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 3:46 PM