AHMAD Bashah (tiga dari kanan) bersama  Mitsuru  (dua dari kanan)  menanam pokok bunga Borsidae di pekarangan AEON Big.
AHMAD Bashah (tiga dari kanan) bersama Mitsuru (dua dari kanan) menanam pokok bunga Borsidae di pekarangan AEON Big.

Alor Setar: Pertambahan bilangan pasar raya besar tidak akan menjejaskan peniaga kecil kerana situasi itu menggalakkan persaingan sihat, selain menawarkan kepelbagaian pilihan kepada pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, peniaga kecil boleh mengambil peluang daripada kewujudan pasar raya besar dengan menawarkan produk bermutu pada harga lebih berpatutan.

“Ini membolehkan pengguna membuat perbandingan harga sebelum membeli,” katanya selepas merasmikan Program Penanaman Pokok AEON Big bersempena pembukaan cawangan ke-29 pasar raya itu di Jalan Gangsa di sini, kelmarin.

Ahmad Bashah memberi contoh pembukaan pasar raya AEON Big pertama di Kedah itu yang dijangka memberi manfaat kepada peniaga kecil di kawasan sekitar.

“Sebelum pembinaan AEON ini, peniaga bimbang perniagaan mereka terjejas, tetapi saya melihat ini membantu meningkatkan ekonomi mereka menerusi penawaran barangan bermutu,” katanya.

Pengarah Urusan AEON Big (M) Sdn Bhd, Mitsuru Nakata dalam kenyataannya berkata, cawangan AEON Big itu dijangka beroperasi bulan depan.

Pasar raya Besar AEON Big Alor Setar itu dibina bermula Januari 2014 dengan kos RM95 juta. Premis itu menyediakan 60 kedai dan dijangka membuka 1,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:05 AM