Ridzuan Abdul Rahman


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pemergian penyanyi popular era 1970-an, Datuk Dhalan Zainuddin sebagai satu kehilangan besar kerana Allahyarham seorang yang terkenal.

Baginda bertitah, Dhalan juga banyak memberi contoh yang baik kepada masyarakat.

“Saya memang minat dengan lagu-lagunya terutama Kisah Seorang Biduan. Dia juga seorang yang baik,” titah baginda ketika hadir mencemar duli memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Dhalan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Baginda tiba pada jam 9.30 pagi sebelum menunaikan solat jenazah yang diimamkan Ketua Imam Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Mohd Faizul Mohd Razali.

Selesai solat jenazah, baginda turut meluangkan masa berbual dengan balu Allahyarham, Datin Effa Rizan dan menyerahkan sumbangan peribadi.

Menurut Al-Sultan Abdullah, baginda sudah mengenali Dhalan sejak muda dan kerap mengundang beliau menjayakan persembahan di Pahang.

“Saya harap ramai lagi yang akan mencontohinya untuk menaikkan nama artis tempatan dan lagu-lagu yang boleh diketengahkan.

“Saya memang sukakan lagu Kisah Seorang Biduan. Ia mencerminkan bagaimana orang muda ketika era 1970-an yang berhijrah dari desa ke bandar,” titahnya.

Dhalan meninggal dunia pada usia 78 tahun di Hospital Selayang jam 9.48 malam semalam akibat serangan angin ahmar kali kedua.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas Zuhur hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 11:45 AM
AL-SULTAN Abdullah menziarah balu penyanyi Datuk Dhalan Zainuddin, Datin Effa Rizan (kanan) selepas menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar.
AL-SULTAN Abdullah menziarah balu penyanyi Datuk Dhalan Zainuddin, Datin Effa Rizan (kanan) selepas menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar.