SCHA menyampaikan kotak makanan kepada kanak-kanak.
SCHA menyampaikan kotak makanan kepada kanak-kanak.
DARI kiri Scha, Ahmad Taufek, Mohd Azmi dan Sulaini bersama murid yang terbabit dalam program.
DARI kiri Scha, Ahmad Taufek, Mohd Azmi dan Sulaini bersama murid yang terbabit dalam program.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Restoran makanan segera KFC & Pizza Hut Malaysia, baru-baru ini menyalurkan sumbangan RM200,000 kepada Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) menerusi tabung World Hunger Relief (WHR) sebagai antara usaha kerjasama Program Makanan Kesihatan (ProMak).

Melalui program itu, 440 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di Sekolah Kebangsaan Laloh menerima bantuan makan tengah hari selama enam bulan.

Ketua Pegawai Pemasaran Digital & Teknologi Maklumat QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd Ahmad Taufek Omar bersama jurucakap World Hunger Relief KFC & Pizza Hut Malaysia, Scha Alyahya menyerahkan cek replika kepada Pengurus Besar YOKUK Sulaini Mat serta Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Laloh Mohd Azmi Mat Deris.

Program ProMak yang bermula pada Mei lalu akan diteruskan hingga akhir tahun persekolahan. Objektif program adalah untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak Sekolah Kebangsaan Laloh yang kebanyakannya terjejas disebabkan bencana banjir yang menimpa mereka pada hujung tahun lalu.

Melalui program berkenaan, setiap kanak-kanak diberi kotak makanan tengah hari yang dihidangkan lima kali seminggu di sekolah.

Menu kotak makanan tengah hari itu berbeza setiap hari bagi memastikan kanak-kanak dapat merasa pelbagai variasi hidangan menu yang menarik tanpa jemu.

Menu dipilih dengan teliti dan mengikut keperluan piramid makanan seimbang termasuk karbohidrat, protein dan vitamin.

Di samping itu, kanak-kanak juga diberi Kotak Nutrisi untuk dibawa pulang seminggu sekali yang me­ngandungi minuman sihat yang diperkaya dengan kalsium (susu coklat, minuman yogurt atau jus buah) dan makanan ringan (roti, ban sardin dan biskut oat atau bijirin sarapan).

Guru bertindak untuk menyelaras, memantau dan melaksanakan Program ProMak yang diselia oleh Pegawai Pemakanan Kementerian Kesihatan dan wakil daripada Yokuk.

Menurut Ahmad Taufek, Program Makanan Kesihatan itu adalah projek perintis bagi Program Pengagihan WHR KFC & Pizza Hut dan pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Yokuk untuk memberi bantuan pemakanan kepada kanak-kanak sekolah.

“Kekurangan nutrisi mempunyai kesan langsung kepada mortaliti, morbiditi, pendidikan dan perkembangan otak dalam jangka panjang. Badan sihat membawa kepada fikiran yang sihat dan objektif program ini untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak Sekolah Kebangsaan Laloh,” katanya.

Scha berkata, ramai individu yang layak mendapat manfaat daripada sumbangan yang diberikan pihak terbabit. Kanak-kanak memerlukan makanan berkhasiat untuk memastikan perkembangan otak dan badan yang sihat.

“Sebagai seorang ibu, ia benar-benar menyentuh hati saya justeru, saya amat bersyukur dapat memainkan peranan dalam membantu program ini,” katanya.

Program Pengagihan Dana WHR yang dilancarkan tahun lalu diperluaskan melalui kerjasama dengan pelbagai NGO yang menjadi penggerak dalam usaha pengagihan itu.

Selain itu, Program Pengagihan Dana WHR juga bekerjasama dengan beberapa NGO lain termasuk Hope Worldwide Kuala Lumpur, Kechara Soup Kitchen, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Pertiwi Soup Kitchen, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Pendidikan.

Kempen WHR adalah inisiatif tahunan KFC dan Pizza Hut Malaysia bagi membantu membasmi isu kebuluran di dunia yang dilancarkan pada 17 Jun 2015 dengan pelbagai usaha menarik bagi mengumpul dana.

Sama seperti sebelum ini, kempen WHR akan mengumpul dana melalui pembelian set hidangan ‘World Hunger Meal’ di rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut dan setiap set hidangan yang dijual di bawah promosi itu akan dikenakan caj tambahan RM0.50 yang akan disalurkan kepada tabung WHR.

Kempen selama tiga bulan itu akan menyediakan tabung derma yang diletakkan di setiap restoran KFC dan Pizza Hut. Di samping itu, kempen terbabit juga memperluaskan usahanya iaitu dengan menambah saluran menderma secara dalam talian. Portal derma itu boleh dilayari di www.facebook.com/WHRMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 8:46 AM