KFC memperkenalkan KFC Mix Bucket di mana RM1 disumbangkan dengan setiap pembelian.
KFC memperkenalkan KFC Mix Bucket di mana RM1 disumbangkan dengan setiap pembelian.

QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) melancarkan inisiatif derma menerusi KFC dan Pizza Hut bagi meringankan beban rakyat yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kita Fight Covid-19, KFC memperkenalkan KFC Mix Bucket di mana RM1 akan disumbangkan dengan setiap pembelian.

Ketua KFC Malaysia, Tony Lika berkata, rakyat Malaysia juga boleh memilih untuk menyumbang ke Tabung Add Hope: Kita Fight Covid-19.

"Mereka boleh menyumbang seberapa jumlah yang mereka mahu kepada tabung ini di mana KFC akan menggandakan jumlah yang terkumpul.

"Melalui kempen ini, kami mengalu-alukan orang ramai untuk berganding bahu memberikan pertolongan yang besar nilainya buat mereka yang terjejas pada waktu sukar ini," katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Pizza Hut melancarkan kempen Terangi Ramadan bagi memberi peluang rakyat Malaysia untuk menyumbangkan 50 sen dengan setiap pembelian melalui laman web atau aplikasi Pizza Hut Malaysia.

Ketua Pizza Hut Malaysia, Loi Liang Tok berkata, pihaknya komited menggandakan jumlah derma yang terkumpul sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membantu mengekang penularan Covid-19.

"Menerusi pelancaran kempen Terangi Ramadan, kami ingin meningkatkan kesedaran terhadap isu ini dan pada masa sama bersatu hati dengan orang ramai untuk memberikan sumbangan dan pertolongan kepada mereka yang lebih memerlukan," katanya.

QSR Brands menyumbang lebih 27,000 pek makanan kepada pelbagai komuniti termasuk petugas barisan hadapan serta pelajar-pelajar universiti dan komuniti yang kurang bernasib baik sejak tempoh PKP yang telah dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Selain itu, pihaknya juga telah melancarkan khidmat penghantaran tanpa sentuh dan khidmat bawa pulang tanpa sentuh di mana pesanan pelanggan dipenuhi secara bebas sentuhan, sejajar dengan garis panduan kesihatan, sosial dan keselamatan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 7:00 AM