TUANKU Syed Faizuddin (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Setiausaha Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus.
TUANKU Syed Faizuddin (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Setiausaha Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus.
Oleh Aizat Sharif


Kangar: Agrobank mencatatkan 48,482 usahawan di Perlis sudah mendapat pembiayaan pertanian berjumlah RM458.13 juta bagi tempoh antara 2008 hingga bulan lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, jumlah itu merangkumi seramai 1,655 pelanggan yang sudah diluluskan pembiayaan bernilai RM18.84 juta dari Januari hingga Ogos lalu.

“Daripada jumlah itu, kelulusan terbesar membabitkan sub-sektor padi iaitu sebanyak RM9.14 juta diikuti perikanan sebanyak RM2.14 juta,” katanya selepas menghadiri Majlis Agenda Agro dan penyerahan Zakat Perniagaan di sini, semalam.

Katanya, sebagai sebuah bank yang memfokuskan kepada sektor pertanian, ia turut mencatatkan peningkatan pembiayaan pertanian yang memberangsangkan dari setahun ke setahun.

“Setakat Julai lalu, pembiayaan Agrobank dalam sektor pertanian primer berjumlah RM4.1 bilion atau 11.2 peratus daripada keseluruhan pembiayaan sistem perbankan di negara ini iaitu RM36.7 bilion,” katanya.

Malah, dalam sub-sektor agromakanan pula, Agrobank mencatatkan pertumbuhan pembiayaan berjumlah RM2.7 bilion atau 23.76 peratus daripada pembiayaan keseluruhan sebanyak RM11.2 bilion.

Agrobank akan memperkenalkan perkhidmatan perbankan mudah alih atau ‘mobile banking’ bagi memudahkan pelanggan mereka terutama di luar bandar dan mempunyai kemudahan Internet dalam membuat transaksi urusan secara dalam talian.

“Rancangan ini bagaimana pun akan diperkenalkan secara berperingkat mengikut kesesuaian pelaburan ekonomi kerana ia membabitkan pengenalan teknologi,” katanya.

Turut hadir, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan isteri, Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ahmad Bakri Ali.

Baginda turut berkenan menyampaikan surat pelantikan ‘Agro Agent’ kepada 13 ejen perbankan Agrobank meliputi lima kawasan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) iaitu di Arau, Kayang, Kangar, tambun Tulang dan juga Simpang Empat.

Pada majlis sama, Agrobank turut menyumbang zakat perniagaan sebanyak RM15,000 kepada Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat di Mata Ayer dan sumbangan projektor LCD kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di Kangar.

Selain itu, sumbangan sebanyak RM25,000 turut diberikan kepada Yayasan Tuanku Syed Putra bagi tujuan kebajikan seperti pendidikan, perubatan, kecemasan dan bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 6:40 AM