DAYANG berkemampuan bawa lagu asli.
DAYANG berkemampuan bawa lagu asli.
HAZIQ terkenal sebagai penyanyi lagu asli generasi baru.
HAZIQ terkenal sebagai penyanyi lagu asli generasi baru.
KEMAMPUAN Asmidar diiktiraf.
KEMAMPUAN Asmidar diiktiraf.
Oleh Abie Abdullah


Bukan semua penyanyi mampu melenggokkan melodi dengan baik. Ada tertibnya tersendiri sehingga ia menjadi khazanah begitu eksklusif.

Muzik tradisional adalah interpretasi melodi dan lirik penuh cerminan budaya Melayu. Susunannya beralun lenggok sempurna dalam luahan emosi pantun penuh maksud tersirat.

Diakui antara genre yang sukar dinyanyikan, ia menuntut kemahiran tinggi dalam melantunkan patah lagu dan membuai pendengar dengan warna suara yang mengasyikkan.

Bagi meraikan genre dan keindahan muzik tradisional Melayu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Konsert Selasihku Sayang pada 20 September ini di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC.

Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata, konsert ini bertambah menarik apabila menampilkan penyanyi lagu Melayu Asli, barisan juara Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan serta penyanyi terkenal dalam satu persembahan bertaraf cemerlang melalui satu nuansa berbeza.

Mereka bakal diiringi Orkestra Kuala Lumpur DBKL pimpinan Datuk Dr Johari Salleh.

“Ini antara usaha kami untuk memartabatkan lagu Melayu tradisional di persada seni tanah air,” katanya.

Antara penyanyi terkenal yang bakal membuat persembahan ialah Dayang Nurfaizah, Datuk Ahmad Nawab, Aspalela Abdullah, Datuk Andre Goh, Haziq Rosebi dan Asmidar.

Turut membuat persembahan ialah Edie Nazrin Hamzah, Sabihah Abdul Wahid, Azzizul Haqim Mohd Anuar, Hasraniza Dollah, Zaharmizuan Azlan, Nor Azmira Rahim, Fitri Hiswady Hasan Nordin dan Nurul Syafiqah Khambali.

Norliza berkata, suntikan orkestra kepada muzik tradisional diang­gap mampu meneroka khalayak sasaran yang baru iaitu mengalakkan peminat muzik orkestra untuk menghargai muzik tradisional Melayu.

“Konsert ini amat penting dan besar maknanya bagi JKKN kerana ini adalah satu lagi usaha JKKN untuk memulihara lagu Melayu Asli selepas kejayaan mengadakan Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan.

“Ia juga satu lagi platform untuk mengetengahkan lagu Melayu Asli sehingga ke peringkat antarabangsa. DFP yang menjadi rakan kerjasama dengan lokasinya yang berprestij dan bertaraf antarabangsa akan menjadi saksi lantunan vokal lagu-lagu asli,” katanya.

Gabungan lama dan baru

Gandingan lama dan baru dalam konsert ini amat bererti dalam usaha mereka mengangkat irama Melayu Asli tempatan ke tempat sewajarnya.

Norliza berkata, jika orang Itali bangga dengan opera dan klasikalnya, orang Malaysia patut berbangga dengan lagu Melayu Asli yang menjadi ‘signature’ atau identiti bagi kategori seni suara.

“Saya menyeru artis Malaysia yang terbabit di dalam industri hiburan untuk menjadikan lagu asli sebagai identiti atau lagu wajib dalam persembahan mereka.

“Ia bukan saja menambahkan versatilitinya seseorang artis itu bahkan hal ini akan membantu memperkayakan perbendaharaan kemahiran mereka dengan lagu-lagu beridentitikan Malaysia meskipun artis berkenaan dari genre muzik lain sama ada pop, rap, rock, jazz, R&B dan sebagainya,” katanya.

Selain Andre dan Aspapela yang cukup sinonim dengan lagu asli, ia turut menampilkan barisan penyanyi pelapis lagu asli seperti Asmidar yang pernah mendapat pingat emas di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2008.

Maklumat mengenai tiket sila layari laman web www.mpo.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 11:52 AM