Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Empat rumah setinggan membabitkan 25 mangsa musnah dalam kebakaran di Taman Ikan Emas, Cheras, di sini, pada 5.50 pagi ini.

Kebanyakan mangsa sedang tidur menyebabkan usaha menyelamatkan harta benda tidak dapat dilakukan.

Difahamkan, penghuni rumah setinggan berkenaan terselamat selepas dikejutkan seorang seorang tukang sapu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengetuk pintu rumah mengarahkan mereka segera keluar menyelamatkan diri berikutan api sedang marak.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.16 pagi.

“Dua puluh enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Razak, Pudu dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadam kebakaran berkenaan. Api dikawal pada 6.38 pagi. Tiada mangsa cedera dalam kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 4:25 PM