Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perlu tindakan tegas. Itu gesaan Pemuda UMNO kepada kerajaan untuk mengambil tindakan kepada penganjur perhimpunan haram hujung minggu lalu kerana menimbulkan provokasi dan memijak gambar pemimpin.

Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata, tindakan segelintir mereka melaungkan kata-kata kesat serta memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah memberi mesej bahawa peserta secara total menolak kepimpinan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.

Katanya, jelas sekali, budaya asing yang tanpa segan-silu mengkritik individu atau pemimpin secara terbuka di tempat awam dijadikan pesta memaki hamun pimpinan negara dalam perhimpunan haram di ibu negara itu.

"Oleh itu, Pemuda menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya ke atas pencetus provokasi agar mereka dikenakan tindakan undang-undang bersesuaian.

"Gunakan segala teknologi seperti rakaman video, gambar dan sebagainya untuk membawa mereka yang berkenaan ke muka pengadilan kerana sudah tiba masanya untuk bertindak ke atas segelintir mereka yang cuba menyemai unsur kebencian dalam kalangan rakyat. Sememangnya insiden memijak gambar pemimpin dan mengeluarkan kata-kata kesat bukan satu amalan demokrasi yang matang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 3:48 PM