Lucu, jujur dan menyayat hati. Juga penuh emosi dan menyesakkan jiwa. Naskhah segar dan berbeza daripada Jones, antara penulis lelaki terbaik dalam kategorinya.

Ia mengisahkan hubungan Fisher dan Ivy yang baru 19 hari berkenalan. Biarpun usia berbeza, kedua-duanya bertegas mereka ditakdirkan untuk bersama.

Jones melakar kehidupan pasangan ini selama 12 bulan. Bagaimana hidup Fisher berubah apabila Ivy disahkan hamil. Ivy pula bergelut dengan emosi yang tidak stabil selepas melahirkan anak mereka.

Kedua-duanya saling berusaha memperbaiki hubungan sedia ada dan cuba menjalin hubungan baru dengan si anak.

Buku ini mengambil sepenuhnya daripada perspektif Fisher dan ia sesuatu yang menarik kerana jarang novel seperti ini mengetengahkan sudut pandangan seorang lelaki.

Jones turut menyelitkan jalan cerita sampingan iaitu persahabatan antara Fisher dan El yang kemudian meninggal dunia kerana penyakit Huntington.

Seronok membaca perbualan antara mereka kerana di sebalik kepayahan El yang tidak lagi mampu bertutur dengan baik dan tidak boleh bergerak, dia masih berupaya berlawak jenaka dengan rakan di sekeliling.

Tanpa plot yang mengelirukan dengan lenggok bahasa bombastik, Andy Jones menyampaikan nukilannya dengan penuh realistik dan tulus.

INFO

- Judul: The Two Of Us

- Penulis: Andy Jones

- Penerbit: Simon & Schuster UK Ltd

- Harga: RM39.95

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:25 AM