EMMA Raducanu. FOTO AFP
EMMA Raducanu. FOTO AFP
AFP

London: Jurulatih ragbi England, Eddie Jones menulis surat kepada Emma Raducanu untuk menerangkan kenyataannya berhubung gangguan di luar gelanggang yang menjejaskan prestasi bintang tenis British itu selepas memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS), September lalu.

Jones membandingkan mengenai prestasi buruk bintang muda itu bagi menjelaskan pandangannya terhadap pemainnya, Marcus Smith yang perlu kekal beraksi di tahap terbaik selepas membantu England melakar kemenangan 69-3 ke atas Tonga, minggu lalu.

"Ada sebab mengapa seorang wanita muda yang memenangi Terbuka AS gagal beraksi dengan baik selepas itu.

"Apa yang anda lihat di muka depan Vogue yang dia memakai pakaian Christian Dior, itu semua adalah gangguan di sekelilingnya," katanya ketika itu.

Jones menegaskan beliau tidak berniat untuk mengkritik Emma dan atas sebab itulah dia menulis surat kepada bintang tenis berkenaan.

"Isu utamanya ialah betapa sukarnya bagi seorang pemain muda untuk mengatasi segala gangguan," kata Jones kepada BBC Sport.

"Jadi apa yang saya katakan adalah tidak salah. Saya tidak dapat menghentikannya jika ia disalah tafsir. Saya tidak berniat mengkritik Emma.

"Saya sudah menghantar surat kepadanya untuk menerangkan perkara sebenar."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 11:23 AM