Gambar satelit daripada Jabatan Negara Amerika dan DigitalGlobe menunjukkan bangunan disyaki tempat pembakar mayat di Kompleks Penjara Saydnaya, dekat Damsyik, Syria. - Foto via AFP/EPA
Gambar satelit daripada Jabatan Negara Amerika dan DigitalGlobe menunjukkan bangunan disyaki tempat pembakar mayat di Kompleks Penjara Saydnaya, dekat Damsyik, Syria. - Foto via AFP/EPA
AFP

KERAJAAN Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad didakwa membina rumah pembakar mayat bersebelahan penjara bagi menghapuskan bukti ia membunuh ribuan tahanan - dakwaan yang dinafikan kerajaan Syria hari ini.

Amerika Syarikat yang membuat dakwaan itu mengemukakan gambar satelit yang dirakam pada Januari 2015 menunjukkan bumbung bangunan bersambung dengan kompleks penjara Saydnaya di utara Damsyik, bersama gambar lain memaparkan sistem pengalihan udara tugas berat.

Bukti itu menyokong dakwaan pertubuhan hak asas bahawa kerajaan Syria menjadikan Saydnaya sebagai pusat pembunuhan penentang kerajaan.

Diplomat Amerika untuk Asia Barat, Stuart Jones, berkata pada 2013, regim Syria mengubah suai bangunan dalam kompleks Saydnaya untuk menjadi yang dipercayai pusat pembakaran mayat dalam usaha menghapuskan bukti pembunuhan beramai-ramai.

Jones yang kini pemangku Pembantu Setiausaha Negara, berkata maklumat diperolehi daripada agensi kemanusiaan yang boleh dipercayai serta sumber perisikan yang bukan hanya bersandarkan gambar-gambar itu.

Menurutnya, regim Syria menempatkan sehingga 70 tahanan dalam bilik kurungan yang muat untuk lima orang.

“Menurut pelbagai sumber, regim itu membunuh sehingga 50 tahanan sehari di Saydnaya,” katanya.

Beliau tidak memberi anggaran jumlah keseluruhan namun laporan Amnesty International menyatakan antara 5,000 hingga 11,000 orang mati dalam penjara antara 2011 hingga 2015.

Jones berkata, regim Bashar menahan antara 65,000 hingga 117,000 orang dalam tempoh berkenaan, iaitu lima tahun pertama perang saudara yang mengorbankan ratusan ribu orang.

Tidak dapat dipastikan kenapa Amerika mengambil masa sehingga dua tahun untuk mendedahkan bukti berkenaan namun menurut Jones, semua maklumat menegenai jenayah itu sedang dikumpul dan disiasat.

Beliau juga menyatakan Setiausaha Negara Rex Tillerson membangkit isu kekejaman Bashar kepada Menteri Luar Russi', Sergei Lavrov, yang melawat Washington minggu lalu.

Russia bersama Iran ialah penyokong kuat regim Bashar dan Washington percaya tekanan Russia akan memberi kesan kepada Bashar untuk menyetujui rundingan damai.

“Amerika sudah banyak kali menyatakan Syria melakukan pembunuhan beramai-ramai yang diketahui Russia dan Iran namun tidak mengendahkannya.

“Russia perlu segera ‘mempengaruhi’ Syria agar jenayah kejam ini dihentikan,” kata Jones.

Ketua delegasi pembangkang dalam rundingan damai dengan regim Bashar, Nasr al-Hariri, berkata: “Ini hanya satu titik air lautan berbanding apa yang berlaku di penjara Syria yang lebih dahsyat.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 10:54 PM