Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Kerajaan Arab Saudi bersedia menimbang semula kuota jemaah haji setiap negara termasuk Malaysia sejurus selesai proses naik taraf dan pembangunan pembesaran Masjidil Haram.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau difahamkan proses naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Beliau berkata, sejurus pembangunan itu selesai, kuota jemaah haji akan dilihat semula sekiranya ia disiapkan lebih awal.

"Saya melihat kepesatan pembangunan di sekitar Masjidil Haram malah, pelbagai naik taraf dilakukan termasuk pembinaan jalan baru selain merobohkan hotel lama.

"Selepas proses (pembangunan) itu siap, kuota jemaah akan dilihat semula.

"Buat masa ini, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota seramai 22,000 jemaah haji Malaysia tahun ini berbanding 28,000 sebelum ini bagi memberi ruang kepada pembangunan di Masjidil Haram," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejurus tiba dari Madinah selepas menunaikan ibadah haji, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Oktober 2014 @ 2:01 PM