Antara  jemaah haji yang kembali dengan penerbangan pertama dari Jeddah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, dua minggu - Foto NSTP (Fail)
Antara jemaah haji yang kembali dengan penerbangan pertama dari Jeddah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, dua minggu - Foto NSTP (Fail)

Yan: Malaysia akan memohon kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji bagi musim depan apabila pembinaan di kawasan luar Masjidil Haram siap sepenuhnya, kata Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, isu tambahan kuota haji termasuk tragedi kren tumbang dan rempuhan pada musim haji lalu, akan dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-menteri Haji dan Wakaf akan datang.

Menurutnya, jumlah kuota jemaah haji negara akan kembali ke tahap asal iaitu 28,000 daripada 22,320 ketika ini sekiranya projek pembinaan kawasan luaran Masjidil Haram siap sepenuhnya.

"Kerajaan Arab Saudi sudah memberi isyarat kepada Malaysia dan jemaah seluruh dunia, jika siap pembinaan usaha penambahan (kuota), kita akan pohon

kerajaan Arab Saudi," katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan secara tunai, hari ini.

Mengulas mengenai tragedi kren tumbang dan insiden rempuhan pada musim haji tahun ini, Jamil Khir berkata, perkara itu adalah di luar jangkaan dan

pengurusan manusia.

“Kita kena akui, dari tahun ke tahun kerajaan Arab Saudi berusaha meningkatkan kemudahan dan kita juga memahami tragedi seperti ini di luar jangkaan, tetapi usaha-usaha lebih ketat mengawal pergerakan dan keselamatan akan terus dilakukan (oleh kerajaan Arab Saudi)," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 6:01 PM