KAIN rentang ‘Welcome To The Family’ yang menyambut rombongan di pintu masuk bangunan MPU School Of Music, Vietnam.
KAIN rentang ‘Welcome To The Family’ yang menyambut rombongan di pintu masuk bangunan MPU School Of Music, Vietnam.
Oleh Noriayani Ejip


SMK Seafield Subang Jaya, Selangor memenangi Sijil Silver Diploma Level VIII sempena Pertandingan Koir Antarabangsa Vietnam ke-4 di Bandaraya Hoi An, Vietnam, baru-baru ini.

Sijil berkenaan dianugerahkan Sekolah Muzik MPU, Ho Chi Minh dan disampaikan Datuk Bandar Hoi An Nguyen Su.

Guru pengiring sekolah ke pertandingan itu, Khasniyati Salehuddin berkata, penyertaan ke temasya bertaraf antarabangsa itu sejajar program pengantarabangsaan sekolah kluster kecemerlangan.

Menurutnya, ia juga sebagai nilai tambah dalam menjana kecemerlangan kokurikulum dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan khususnya Kelab Koir.

“Ia mempertingkatkan ketrampilan dan keupayaan vokal ahli koir selaras penyertaan di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, ia memberi pendedahan kepada ahli koir sekolah ini mengenai budaya berbeza melalui program ‘Choral Exchange’,” katanya.

Turut mengiringi empat lagi guru pengiring, Leong Meng Foo, Saranjit Kaur Jaswant Singh, Mak Lai Fun dan Noorizan Hassan.

Katanya, program itu memberi peluang kepada guru untuk menimba pengalaman dan kemahiran mengurus program berbentuk pengantarabangsaan.

“Ia memberi keyakinan serta memupuk semangat berani menghadapi orang ramai ketika bertanding di peringkat antarabangsa.

“Bagi sekolah, program ini memantap serta mempertingkatkan kualiti persembahan pasukan koir yang akan mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan, sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Kelab Koir SMK Seafield menyampaikan empat lagu sebagai memenuhi kriteria pertandingan.

Selain itu, mereka turut menyertai perarakan sekitar bandar lama Hoi An yang diiktiraf Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selepas upacara penyampaian sijil diploma.

Mereka juga membuat persembahan bersempena Konsert Persahabatan di ‘Hoi An Traditional Art Performance House’ di 66 Bach Dang Street, Hoi An dan ‘choral exchange’ di MPU School Of Music di Bandaraya Ho Chi Minh City, Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 12:43 PM