Sebelum ini, SS hanya dengar cerita saja mengenai seorang pelakon wanita yang suka buat hal di lokasi.

Walaupun baru setahun jagung, tapi perangai divanya mengalahkan bintang Bollywood.

Kalau nak diimbas semula, memang sudah berulang kali nama dan kontroversi membabitkan artis ini jadi bualan ramai.

Baru-baru ini, dia buat hal lagi. Kali ini lebih teruk apabila dikhabarkan dia terpekik terlolong termasuk memaki-hamun.

Puncanya, kata sumber SS cukup remeh. Pelakon itu naik angin sebab masalah peribadi di luar terbawa-bawa ke lokasi penggambaran.

Dipercayai, mood pelakon itu jadi ribut taufan kerana bergaduh dengan kekasihnya sebelum datang lokasi.

Hendak dijadikan cerita, apabila tiba di lokasi seorang kru yang memang rapat dan sering bergurau senda dengan pelakon itu sudah tersalah gurau.

Biasanya mereka OK saja dan akan berbalas-balas gurauan, tapi nak dijadikan cerita pada hari itu si pelakon tengah tak ada mood jadi apa lagi, letupan gunung berapilah yang berlaku!

Jenuh juga pengarah berusaha meredakan keadaan sebab pelakon itu enggan meneruskan penggambaran.

Bagi SS, pelakon ini belum tahu perasaan apabila tidak menerima tawaran lakonan untuk tempoh lama.

Mungkin hari ini ketika namanya digilai ramai, boleh dia buat perangai dan tetap diberikan peluang.

Cuba tengok esok atau lusa apabila muncul lebih ramai muka baru, jangan jatuh terduduk pula kalau orang sudah tidak peduli.

SS: Takut angkat muka depan bos

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 10:09 AM