DR Amirudin Abdul Wahab.
DR Amirudin Abdul Wahab.
Oleh Afiq Hanif

Awas kepada pengguna peranti Android apabila agensi keselamatan negara, CyberSecurity Malaysia (CSM) berjaya mengesan virus yang dinamakan Stageright berupaya menjejaskan telefon pintar beroperasi pada Android 2.2 hingga 5.1.1.

Virus terbabit membenarkan penyerangnya mengawal perkakasan Android dengan hanya menghantar mesej multimedia.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM Dr Amirudin Abdul Wahab berkata Stageright dinamakan sempena salah satu bahagian dalam sistem operasi Android yang membantu telefon dan tablet memaparkan kandungan media.

“Bahagian terbabitlah yang terjejas dengan serangan virus baru ini.

“Baru-baru ini, penyelidik berjaya mengesannya yang cuba melemahkan tahap keselamatan pada peranti,” katanya.

Dr Amirudin berkata, malangnya apabila hanya telefon pintar terbaru Android saja yang menerima sistem keselamatan bagi menangkis masalah ini.

“Namun bagi telefon yang dikeluarkan dari tahun 2010 hingga awal 2015, tiada tanda ia boleh menahan virus terbabit,” katanya.

Sesetengah penyelidik turut menyamakan Stageright ini dengan Heartbleed yang pernah menyerang Android suatu ketika dulu mengakibatkan jutaan peranti terjejas.

CSM juga turut mengeluarkan langkah keselamatan untuk mengelak Stageright dalam laman teknikalnya di www.mycert.org.my.

Antara langkah keselamatan yang perlu diambil ialah mengemas kini peranti kepada OS Android 5.1.1_r5.

Selain itu, anda perlu menyekat mana-mana teks mesej daripada individu tidak dikenali dan menutup ‘Auto Retrieve’ pada mesej multimedia yang mengelakkan telefon membuka fail foto, audio dan video secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 10:03 AM