NADAL (kiri) tak pernah bertemu Federer pada Terbuka AS.
NADAL (kiri) tak pernah bertemu Federer pada Terbuka AS.
AFP

NEW YORK: Permusuhan mereka berlanjutan hingga 13 tahun dan 37 perlawanan namun Rafael Nadal dan Roger Federer tidak pernah bertemu pada Terbuka AS, catatan janggal yang mungkin diatasi pada Grand Slam terakhir tahun ini.

Nadal, kembali ke puncak ranking dunia buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun, pernah menang dua kali di New York, kejuaraan 2010 dan 2013 menjadi sebahagian daripada 15 kejuaraan Grand Slam dimilikinya yang dilengkapkan dengan rekod kejuaraan Terbuka Perancis ke-10 Jun lalu.

Federer, juara lima gelaran AS dari 2004-2008, membida kejuaraan utama ke-20 dan ketiga tahun ini selepas merangkul kejuaraan Terbuka Australia dan Wimbledon.

Kemenangan pada final kategori lelaki pada 10 September depan akan turut menjadikan pemain berusia 36 tahun itu sebagai juara paling tua Terbuka AS dalam era moden dan tertua sejak Bill Tilden pada 1929.

Laluan merebut kejuaraan buat Nadal dan Federer dipermudahkan dengan ketiadaan juara dua kali Novak Djokovic, bekas pemain nombor satu dunia yang menamatkan musimnya lebih awal untuk pulih daripada kecederaan siku.

Turut memberi laluan juara bertahan Stanislas Wawrinka, yang berehat lama untuk menjalani pembedahan lutut.

Menambah duka masalah pinggul yang membelenggu juara 2012, Andy Murray dan ramai beranggapan dua daripada pejuang terbilang dalam sukan itu mungkin bertemu sesama sendiri pada aksi final.

Nadal, 31, menuju ke New York selepas kalah berturut-turut pada suku akhir di tangan Nick Kyrgios di Cincinnati dan pusingan 16 Montreal kepada pemain remaja Kanada, Denis Shapovalov.

“New York satu kejohanan yang jelas berbeza,” kata Nadal, yang melepasi pusingan keempat pada Terbuka AS sejak 2013.

“Memang berbeza dan dalam sejarah karier saya di New York, saya bermain lebih bagus.

“Saya percaya saya cukup bersedia sepanjang tahun untuk bertanding di tahap tertinggi di New York.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:44 PM