Kuala Lumpur: Media Prima Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah Media Prima berkuat kuasa 1 September 2015.

Pelantikan itu susulan tamatnya tempoh khidmat cemerlang Tan Sri Johan Jaaffar selama enam tahun bersama kumpulan. Fateh Iskandar, 47, dilantik ke Lembaga Pengarah Media Prima pada 4 September 2009 dan sekarang ini adalah Naib Pengerusi serta Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan Kumpulan.

Dalam Lembaga Pengarah Media Prima, beliau menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Nominasi dan Ganjaran (Remuneration) dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Beliau juga adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad selain menjadi ahli Lembaga Pengarah Axis-Reits Managers Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan VADS Berhad.

Antara Pengasas Malaysian Property Incorporated (MPI), Fateh Iskandar adalah juga Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) serta Pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk Perkhidmatan & Perundangan.

Sementara itu, Media Prima turut mengumumkan pelantikan Datuk Raja Zaharaton Datuk Raja Zainal Abidin, 67, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa 13 Ogos 2015.

Pelantikan mereka juga mencerminkan komitmen Kumpulan dalam melaksanakan amalan terbaik serta tadbir urus korporat yang baik di mana hampir 80 peratus komposisi Lembaga Pengarah terdiri daripada Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Perubahan itu juga meningkatkan penyertaan wanita dalam Lembaga Pengarah Media Prima Berhad kepada 25 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:30 AM