KEADAAN dalam rumah seorang penduduk yang rosak akibat banjir lumpur.
KEADAAN dalam rumah seorang penduduk yang rosak akibat banjir lumpur.
Oleh Khairulmizan Yahya


Kuantan: Kerajaan Pahang melalui jabatan berkaitan sudah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) iaitu dengan menghantar bantuan segera kepada mangsa banjir lumpur di Ringlet, Cameron Highlands, semalam.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, semua langkah perlu sudah dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu penduduk terbabit.

"Saya percaya semua agensi terbabit sudah melakukan kerja mereka dengan baik.

“Kita tidak dapat menafikan kejadian banjir lumpur ini berulang akibat sikap manusia sendiri yang tidak menghargai alam sekitar," katanya dalam sidang media selepas mengiringi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan tidak teratur dan penerokaan hutan secara rakus menyumbang kepada bencana itu dan kejadian sebegitu perlu diambil iktibar supaya lebih menghargai alam sekitar.

"Kalau kita ke sana (Cameron Highlands), kita boleh tengok sendiri betapa banyak kawasan di situ sudah diteroka.

“Persoalan ia diteroka secara sah atau haram itu perkara lain, yang menjadi persoalan sekarang adalah sikap kita sendiri dalam menjaga dan menguruskan alam sekitar.

"Kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah sentiasa memantau perkara ini. Kita juga dalam dilema, kalau dibiarkan penerokaan haram ini, rakyat akan kata kita terlalu berlembut; jika kita ambil tindakan pula, mereka kata kita kejam," katanya.

Adnan berkata, kerajaan negeri bersama Pejabat Daerah dan Tanah akan melakukan sedaya upaya untuk meringankan beban mereka yang menjadi mangsa banjir lumpur itu.

Setakat ini, polis mengesahkan seramai tiga mangsa terkorban dan empat cedera dalam kejadian banjir kilat serta tanah runtuh di tiga kawasan membabitkan Kampung Baru Ringlet, Kuala Terla, Ulu Merah dan Lembah Bertam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketiga-tiga mayat mangsa sudah ditemui secara berperingkat bermula jam 8.30 malam tadi dan mayat terakhir dijumpai kira-kira jam 8.20 pagi tadi. [Link]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 3:24 PM