Oleh Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Penduduk di sepanjang tebing Sungai Bertam dan Ringlet, di sini akan dipindahkan ke tempat selamat menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) jika mereka bersetuju untuk berpindah.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata, langkah pemindahan penduduk perlu dilakukan jika mereka tidak mahu terus berdepan banjir lumpur dan banjir kilat pada masa depan.

Katanya, kerajaan bersedia memindahkan penduduk, namun memerlukan persetujuan daripada penduduk.

"Masalah sekarang ialah kebanyakan penduduk enggan berpindah dengan alasan mereka sudah memperoleh geran (T0L)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 72 orang mangsa banjir kilat Kampung Baru Ringlet di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini hari ini.

Palanivel yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, justeru pihaknya tidak boleh memaksa mereka berpindah sebaliknya berusaha memujuk mereka berbuat demikian demi keselamatan diri dan keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 12:43 PM