Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: UMNO tidak berhasrat untuk bertapak di Sarawak kerana parti sedia ada di negeri itu sudah cukup kuat dan layak untuk memimpin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, tidak perlu UMNO mewujudkan cawangan di Sarawak dan Barisan Nasional (BN) menyerahkan semuanya kepada parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti komponen BN lain.

Beliau berkata, di Sarawak sudah ada parti yang layak memimpin boleh menyatukan semua kaum di negeri ini.

"PBB adalah parti yang berpengaruh di negeri ini, boleh dipercayai dan perlu di sokong.

"Sebagai Pengerusi BN, saya kagum dengan PBB dan kita akan terus memberi sokongan penuh bagi memastikan PBB dan BN terus menjadi tonggak pemerintahan di Sarawak," katanya ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PBB Zon Kuching di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri; menteri kabinet Sarawak dan ahli PBB.

Sementara itu, Adenan berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 dijangka diadakan dalam tempoh 10 bulan lagi.

Beliau menyasarkan PBB bertanding sebanyak 40 kerusi daripada 82 kerusi dipertandingkan.

"Pada PRN lalu, PBB bertanding dalam 35 daripada 71 kerusi dan Alhamdulillah menang kesemuanya.

"Saya berharap kecemerlangan ini diteruskan dan bersatu menyelamatkan Sarawak dan Malaysia. Dalam 11 kerusi baru yang diwujudkan, PBB akan bertanding lima atau enam kerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 11:17 PM